Thursday, 12 October 2017

'Musang King' umpama berita berharga...

Seorang wartawan Indonesia bertanyakan Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh bagaimana Bernama menangani gejala berita palsu.
Datuk Zulkefli menjawab dengan memberikan analogi durian jenis ‘Musang King’ yang menjadi pilihan ramai walaupun harganya tinggi.
“Walaupun ada banyak durian namun ‘Musang King’ tetap dicari sungguhpun harganya tinggi.
“Begitulah juga dengan berita, kami melaporkan berita dengan benar dan tepat agar ia menjadi rujukan pelbagai pihak,” katanya kepada wartawan berkenaan yang menyertai delegasi 64 orang wartawan dari Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) Limapuluh Kota-Payakumbuh dan Riau yang melawat Bernama hari ini.
Wartawan berkenaan menemubual Datuk Zulkefli semasa jamuan ringan pada akhir lawatan itu yang bertujuan berkongsi pandangan mengenai perkembangan semasa industri media Malaysia-Indonesia.
Sebelum itu Datuk Zulkefli menyambut ketibaan delegasi yang diketuai Zulmansyah Sekedang sebelum mereka mengadakan sesi dialog bersama Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang dan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab.
Dalam sesi dialog itu anggota delegasi yang dalam rangka lawatan tiga hari ke ibu negara berakhir hari ini, antara lain turut membincangkan mengenai cabaran industri media khasnya media cetak dalam menghadapi persaingan sengit daripada media sosial, serta semangat persahabatan yang unik antara Malaysia dan Indonesia.
Zulkefli dalam perbincangan itu menyarankan agar pengamal media kedua-dua negara memperbanyakkan laporan berita yang bersifat positif dalam liputan masing-masing.
“Sebagai pengamal media, kita boleh memilih untuk mengungkit atau memperbesarkan sesuatu isu itu ataupun sebaliknya. Bagaimanapun ia adalah lebih baik jika kita memilih untuk melaporkan dari segi yang positif demi menjaga hubungan antara dua negara ini, " kata Zulkefli yang pernah bertugas sebagai Pewarta di Indonesia dan kini merupakan Pengerusi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI).
Menurut Zulmansyah, lawatan itu  selain bertujuan membina hubungan silaturahim yang lebih erat antara pengamal media di kedua-dua negara ini, turut memberi peluang kepada anggota delegasi untuk bertukar fikiran mengenai perkembangan dan cabaran semasa industri media di kedua-dua negara.
Katanya lawatan ke Bernama juga amat bermakna kerana ia dapat meningkatkan pengetahuan dan kefahaman anggota delegasi mengenai peranan agensi berita itu.
Dalam lawatan itu anggota delegasi media Indonesia itu turut diberi taklimat mengenai operasi dan produk yang disediakan Bernama selain melawat tiga unit utama Bernama iaitu Jabatan Pengarang, BERNAMA Radio dan BERNAMA News Channel (BNC).
Turut meraikan lawatan delegasi itu ke Bernama ialah Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi, Nor Faridah Abdul Rashid dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa, Ahmad Zukiman Zain.
Selain Bernama, delegasi itu turut melawat International Institute for Halal Research and Training, Kumpulan Media Karangkraf dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
 
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment