Sunday, 29 October 2017

Bernama 2050...

Bernama perlu merangka perancangan jangka panjang seiring dengan Transformasi Nasional 2050 atau TN50.
Konsep Bernama 2050 atau ‘B50’ itu dijangka diperhalusi dalam ‘retreat’ pengurusan yang dicadangkan oleh Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh.
Beliau membayangkan pada mesyuarat jawatankuasa pengurusan tiga hari lepas pentingnya bagi Bernama mempunyai  hala tuju  itu untuk lebih  bersedia menghadapi masa depan.
Perancangan itu akan mengambilkira pandangan golongan muda serta perubahan lanskap dalam industri media yang kinipun pesat berkembang dengan kemunculan media baharu.
Dalam pembentangan Bajet 2017, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan memperkenalkan Transformasi Nasional 2050 atau TN50 bagi melakar sebuah negara bangsa yang unggul agar Malaysia terjulang dalam 20 negara terbaik di dunia.
Dilaksanakan secara bottom-up, beliau sendiri telah turun padang mengadakan siri-siri wacana dan dialog TN50 dengan pelbagai segmen masyarakat seperti belia, mahasiswa, penjawat awam, penggiat seni, pendidik dan pihak swasta bagi mendapatkan aspirasi, pandangan dan idea.
Setakat ini, lebih 80 ribu aspirasi diterima melibatkan 1.8 juta rakyat mewakili pelbagai golongan dari seluruh negara.
Ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat dua hari lepas, Datuk Seri Najib menghuraikan pelbagai langkah dalam menuju TN50.
Antara lain bagi mencapai kualiti kerja dan kehidupan keluarga seimbang, pihak berkuasa tempatan hendaklah mewajibkan semua bangunan pejabat yang baharu supaya menyediakan kemudahan pusat jagaan kanak-kanak, bermula di Kuala Lumpur.
TN50 juga menekankan aspek pembelaan nasib semua golongan termasuk kebajikan Orang Kurang Upaya atau OKU.
Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Datuk Samsuni Mohd Nor, yang mengadakan kunjungan ‘turun padang’ ke Bernama pada 19 Oktober lepas, telah menyarankan agar Bernama mengekalkan integriti sebagai penyalur berita dan maklumat tepat kepada pelanggan dan orang awam.
"Bernama menjadi rujukan pelbagai pihak untuk mendapatkan berita sahih dan tepat, gunakan peluang kepercayaan ini untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara," katanya.
Dalam hubungan ini, beliau berkata Bernama boleh mengadakan ‘brainstorming’ termasuk aspek penjenamaan (branding)  bagi mempromosikan lagi perkhidmatannya.
Memandangkan 2017 menghampiri penghujungnya, sesi percambambahan fikiran ini amat sesuai diadakan bukan hanya untuk memikirkan mengenai ‘B50’ tetapi rangka kerja bagi tahun mendatang.
Paling penting ialah bagaimana seluruh perkhidmatan Bernama dapat digembleng sebagai entiti yang berdaya saing dan ‘vibrant’ setelah kita merayakan ulangtahun ke-50 Jubli Emas tahun ini.
“Sebagai agensi berita, kita seharusnya ‘vibrant’,” kata Datuk Zulkefli.
Suasana keceriaan dan bersemangat dinamik ini termasuklah mengecat bangunan Wisma Bernama dengan tidak semestinya berwarna biru -- warna logo Bernama.

No comments:

Post a Comment