Monday, 16 October 2017

Arwah Pak Saiful Individu Penting Eratkan Hubungan Media Malaysia-Indonesia

Foto drp Facebook Dirwan Ahmad Darwis
Penasihat Kanan Agensi Berita Nasional Indonesia (Antara), Saiful Hadi Chalid yang meninggal dunia di Jakarta semalam, merupakan individu penting dalam mengeratkan hubungan dua hala antara media Malaysia dan Indonesia.
Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Azman Ujang berkata ini kerana Allahyarham, yang lebih dikenali sebagai Pak Saiful, memainkan peranan signifikan dalam mewujudkan hubungan mesra tersebut dan sangat mengenali sosiopolitik Malaysia sejak sekian lamanya.
"Allahyarham sangat dikenali kerana watak penting yang merapatkan hubungan media antara kedua-dua negara baik secara individu mahupun sebagai bekas Ketua Umum Ikatan Kesetiakawanan Wartawan Indonesia-Malaysia (ISWAMI).
"Kami kerap berhubung khususnya jika tercetus isu-isu "panas" di media. Dalam tahun ini sahaja, saya berjumpa dengan Allahyarham dua kali iaitu di Jakarta dan Kuala Lumpur. Pada 25 Julai, Allahyarham walaupun menjalani rawatan dialisis sempat menyertai lawatan rombongan wartawan dari Indonesia ke Kuala Lumpur.
"Kali terakhir saya menemuinya di Jakarta pada 1 Ogos lepas pada majlis penghargaan untuk media Indonesia dan Malaysia yang dihoskan Duta Besar Malaysia, Datuk Seri Zaharin Hashim di mana Pak Saiful diberi Anugerah Khas atas sumbangannya kepada hubungan baik Indonesia-Malaysia," katanya.
Allahyarham Pak Saiful, 59, meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Siloam di Jakarta pada pukul 9.30 malam tadi.
Senada dengan Azman, Pengurus Besar Bernama, Datuk Zulkefli Salleh menyifatkan pemergian Pak Saiful amat dirasai kerana peranannya sebagai seorang sahabat media yang sejati, ikhlas dan jujur dalam membina hubungan yang lebih rapat antara kedua-dua negara.
Zulkefli, yang juga Pengerusi ISWAMI di Malaysia, berkata Allahyarham antara tokoh wartawan Indonesia yang mengasaskan penubuhan organisasi tersebut dalam membina persefahaman dan mewujudkan hubungan dua hala media Malaysia dan Indonesia.
"Media memainkan peranan penting dan boleh menjadi alat untuk meregangkan atau merapatkan masyarakat. Kerana itu ISWAMI ditubuhkan dahulu. Saya berharap, usaha baik Pak Saiful dapat diteruskan wartawan lain dalam bentuk niat dan tindakan," katanya.
Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abd Wahab berkata Allahyarham Pak Saiful telah membuka banyak lembaran dan peluang berkaitan aktiviti media kedua-dua negara sehingga dikenali dalam kalangan tokoh-tokoh wartawan Malaysia.
"Sewaktu memegang jawatan sebagai Ketua Pengarang Antara, Allahyarham telah menjalin kerjasama rapat dengan media Malaysia hingga keakraban itu terserlah bukan sahaja di peringkat rasmi tetapi peribadi.
"Oleh kerana itu, hubungan Malaysia dan Indonesia berada di tahap terbaik kerana media kedua-dua negara sentiasa memelihara silaturahim antara rakyat dan kedua-dua kerajaan.
"Malah, banyak krisis dapat diselesaikan melalui peranan dimainkan kedua-dua pihak," katanya.
Bekas Pengerusi Media Prima Berhad, Tan Sri Johan Jaafar berkata Allahyarham sangat dikenali kerana peranannya sewaktu kemuncak krisis media Malaysia-Indonesia berikutan isu pembantu rumah dan pemilikan Ambalat, sebuah blok lautan di Laut Sulawesi, yang menjadi pertikaian antara kedua-dua negara.
Jelasnya, Allahyarham ketika itu telah menggunakan platform yang terbaik dalam meredakan dan menyelesaikan krisis tersebut yang sekali gus tidak menjejaskan hubungan kedua-dua kerajaan.
Selain itu, Johan berkata Allahyarham juga telah menubuhkan Yayasan Kerukunan Indonesia-Malaysia (YAKIM) baru-baru ini sebagai satu platform menghimpunkan tokoh intelektual, ahli perniagaan dan bekas wartawan untuk saling berinteraksi antara satu sama lain.
"Secara peribadi, semangat beliau sangat kuat. Walaupun sedang sakit, beliau sanggup turun padang menyelesaikan amanah dan tanggungjawab yang telah diberi," katanya.
Sementara itu, rakan media Malaysia yang rapat dengan Allahyarham, Sabaruddin Ahmad Sabri berkata Pak Saiful antara tokoh wartawan, sahabat karib dan pemimpin media Indonesia yang selalu mengadakan lawatan dan kunjungan dalam merapatkan hubungan media Malaysia-Indonesia.
"Allahyarham mudah didekati. Walaupun sibuk, beliau sangat ambil berat tentang hubungan antara dua negara dan sangat mementingkan amanah yang diberi. Satu kehilangan besar," katanya.
Bekas Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, yang juga Ahli Majlis Pentadbir Iswami, Datuk Ahmad Abd Talib berkata Allahyarham sangat memberi perhatian kepada usaha merapatkan hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia.
"Kami di Iswami sangat senang berbicara dengan Allahyarham. Beliau juga selalu berkunjung ke Malaysia untuk mencari inisiatif yang baik demi hubungan dua negara serumpun ini. Pak Saiful juga mudah untuk didampingi. Jenakanya sentiasa menghiburkan,” tambahnya.
-- BERNAMA




No comments:

Post a Comment