Tuesday, 24 October 2017

Bernama raih tiga anugerah Akrab peringkat kementerian

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mengungguli tiga kategori utama dalam inisiatif Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) peringkat Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Bernama menerima Anugerah Gemilang sebagai organisasi contoh dalam mengaktifkan serta melaksanakan aktiviti-aktiviti Akrab secara efisien dan berkesan dalam kategori Anugerah Akrab Terbaik organisasi sempena Seminar Akrab yang diadakan bersempena sambutan Hari Psikologi peringkat Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya hari ini.
Editor Meja Rencana Bernama Mohd Nasir Yusoff meraih  anugerah Akrab Bestari bagi  kategori individu manakala Pengurus Infolib Bernama Hasnita Ibrahim pula menerima anugerah Akrab Proaktif.
Bercakap kepada Bernama selepas menerima anugerah itu, Mohd Nasir terkejut apabila namanya diumumkan sebagai penerima anugerah namun bersyukur kerana sumbangannya menjadi rakan pembimbing di Bernama diiktiraf di peringkat kementerian.
Beliau berkata ia merupakan anugerah kedua yang diterimanya dengan anugerah pertama pada 2014 di Pulau Pinang pada peringkat kebangsaan.
"Akrab Bernama bekerja keras sebagai satu pasukan dan sentiasa bersedia untuk membantu warga Bernama yang beraspirasi untuk meningkatkan tahap kerja dan membuahkan hasil terbaik,” katanya.
"Itulah objektif utama kita. Warga Bernama berprestasi rendah dengan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) di bawah 60 peratus akan dibantu berteraskan asas kaunseling dan kemahiran membimbing dengan mendengar masalah mereka dan menunjukkan kesediaan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi itu.
Selepas berkaunseling selama satu setengah tahun, ada kakitangan yang telah menunjukkan perubahan sikap dan LNPT dinilai semula serta mereka mendapat lebih 90 peratus," katanya.
Hasnita pula menyifatkan anugerah tersebut bukan untuk diri sendiri tetapi untuk warga Bernama secara keseluruhan yang sentiasa bersedia memberikan sumbangan kepada peningkatan ilmu kepada rakan-rakan Akrab mahupun rakan sekerja.
"Saya sangat gembira mendapat anugerah buat pertama kali,” katanya yang telah berkhidmat selama 17 tahun dengan Bernama
Jabatan Penerangan dan Jabatan Penyiaran masing-masing memenangi anugerah Akrab Dinamik dan Akrab Inovatif bagi kategori organisasi. Fauziah Hussain dari Jabatan Penerangan merangkul anugerah Akrab Utama bagi kategori Anugerah Akrab Terbaik Individu.
Anugerah Khas Akrab Tahun 2017 dianugerahkan kepada Pengerusi Akrab KKMM Mohd Zazmi Mohd Zain. Kesemua anugerah berupa sijil penghargaan dan trofi itu disampaikan oleh Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Datuk Samsuni Mohd Nor.
Ketua Setiausaha KKMM Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dalam ucapan perasmian Hari Psikologi dan Seminar Akrab KKKM 2017 itu berkata Akrab harus menjadi satu agenda yang penting untuk diambil perhatian ke arah membentuk pekerja yang boleh bersaing secara sihat dan memiliki moral yang tinggi.
Katanya, kajian oleh Stanford Graduate School of Business mendapati 30 peratus pekerja meningkatkan prestasi mereka selepas dikritik manakala 90 peratus pekerja telah berjaya meningkatkan prestasi mereka setelah dipuji.
"Kewujudan Akrab telah membuktikan bahawa kerajaan prihatin terhadap kebajikan kakitangan awam. Ia merupakan satu lagi bentuk penyampaian perkhidmatan yang jarang diperkatakan atau dilihat umum. Walaupun Akrab ini khusus untuk kakitangan awam, namun peranannya itu sendiri jauh lebih penting, menjadi penyelesai kepada mereka yang gagal menyerlahkan potensi diri yang sebenar," katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Samsuni.
-- BERNAMA  

No comments:

Post a Comment