Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) komited meneruskan inisiatif kerajaan dalam merakyatkan perkhidmatan awam dengan 'turun padang' meninjau permasalahan agensi dan jabatan di bawahnya.
Setiausaha
Bahagian Kanan (Pengurusan) KKMM Datuk Samsuni Mohd Nor berkata selain meninjau
permasalahan yang dihadapi agensi dan jabatan, inisiatif tersebut merupakan
platform mempererat jalinan silaturahim antara pemimpin dalam perkhidmatan awam
dan petugas di peringkat akar umbi.
"Lawatan
turun padang ini selaras dengan saranan KSN (Ketua Setiausaha Negara), ia satu
konsep penting yang kita ambil untuk mengambil berat permasalahan dan kebajikan
agensi dan jabatan yang berada di bawah KKMM," katanya selepas sesi taklimat
bersama pemimpin tertinggi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama)
bersempena lawatan beliau dan rombongan KKMM ke Bernama hari ini.
Taklimat
turut disertai oleh Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua
Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab.
Samsuni
berkata ini merupakan kali pertama beliau mengadakan lawatan ke Bernama selepas
menyertai KKMM sejak Jun tahun lalu.

Dalam
pada itu Samsuni meminta warga Bernama mengekalkan integriti sebagai penyalur
berita dan maklumat tepat kepada pelanggan dan orang awam.
"Seperti
kita tahu Bernama menjadi rujukan pelbagai pihak untuk mendapatkan berita sahih
dan tepat, gunakan peluang kepercayaan ini untuk terus memberikan perkhidmatan
terbaik kepada negara," katanya.
Pada
lawatan itu, beliau turut menyertai sesi taklimat dan perkongsian pengalaman
dengan petugas Bernama.
Rombongan
kemudian turut mengadakan lawatan ke Jabatan Pengarang, Bernama News Channel
(BNC) dan Bernama Radio.
--
BERNAMA
No comments:
Post a Comment