Tuesday, 24 October 2017

Menawan Pinnacles di Mulu...

Penyunting visual kanan, Perkhidmatan Audio Visual Mohd Awal Ibrahim membuktikan usia tidak menghalang bagi melakukan aktiviti lasak mendaki gunung. Beliau berkongsi pengalaman dan foto mengenai ekspedisinya menawan Pinnacles di Taman Negara Mulu, Sarawak yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. 

“Betul ke Encik Awal nak naik Pinnacles?’’ tanya Robert semasa saya membuat penempahan menggunakan perkhidmatan beliau sepanjang saya berada di Mulu. Beliau bertanya demikian ketika melihat kad pengenalan saya dan mendapati usia saya sudah 57 tahun. Untuk sampai di Pinnacles seseorang itu perlu mempunyai stamina yang tinggi dan kekuatan pada tangan serta kaki.
Saya bersama Ustaz Asri Junin (48) dari Uxera, Saradatul Husna Ishak (24) dari Jabatan Akaun dan seorang teman NurulAin Ajiman (24) membuat tempahan dari 14 hingga 18 Oktober 2017. 
Tempahan dibuat pada awal tahun kerana terdapat dua penerbangan sahaja ke Mulu iaitu pada sebelah pagi dan petang. Permit masuk ke Taman Negara Mulu, tempat penginapan, guide dan perahu panjang untuk ke Pinnacle diuruskan Robert.
Sebagai persiapan, saya bersama rakan-rakan Kelab Kakitangan Bernama telah mengadakan latihan mendaki Gunung Angsi di Kuala Pilah, Pine Tree di Bukit Fraser, Gunung Irau di Cameron Highland, Gunung Kinabalu, Sabah dan Gunung Rajah di Bentong Pahang.
Akhirnya masa untuk ke Mulu pun tiba. Saya sudah dua kali ke Mulu dengan membawa rombongan yang besar tetapi kali ini hanya berempat.
Dengan menaiki pesawat MAS, kami tiba di Lapangan Terbang Miri pada jam 12.30 tengah hari ketika Miri dan kawasan sekitarnya baru saja dilanda hujan ribut.
Kami dimaklumkan pesawat Maswings yang pertama ke Mulu tidak boleh berlepas kerana cuaca tidak mengizinkan. Pesawat tersebut hanya berlepas pada jam 2.30 petang dan terpaksa berlegar-legar di ruang udara Mulu sebelum mendarat.  Pesawat yang kami naiki mendarat 1 jam kemudian.
Selamat datang ke Mulu, dunia tanpa internet, wifi, televisyen, radio dan telefon bimbit. Ketibaan kami disambut mesra oleh Robert dan dibawa ke homestay miliknya yang berhampiran lapangan terbang Mulu.
Di homestay telah sedia menunggu isteri Robert, Dina dengan hidangan minum petang. Kami berbual mesra seperti sudah kenal lama, begitu juga pasangan pelancong Jerman Mark dan Kina yang turut menginap di situ.
Tidak menunggu lama kami berjalan sejauh 4km ke Gua Rusa untuk menyaksikan ribuan kelawar keluar mencari makan dengan formasi yang begitu menarik. Kelihatan pelancong-pelancong asing yang teruja melihat kelawar-kelawar tersebut keluar dari Gua Rusa.
Tiada bekalan elektrik di rumah penduduk di Mulu serta lapangan terbang, hotel dan Taman Negara Mulu yang semuanya menggunakan janakuasa elektrik sendiri.
Di homestay Robert, janakuasa diaktifkan mulai jam 6 petang hingga jam 6 pagi.
Selepas sarapan, kami bergerak menuju ke jeti di Sungai Melinau berhampiran Taman Negara Mulu untuk ke Gua Angin dan Gua Air Jernih.
Perjalanan yang mengambil masa 40 minit itu melalui sungai yang airnya deras dan dikelilingi hutan serta tebing batu kapur.Terdapat juga perkampungan Penan yang lengkap dengan pondok polis, klinik serta sekolah.
Ramai pelancong asing yang turut bersama kami melihat Gua Angin dan Gua Air Jernih.
Walaupun gua ini berhampiran namun strukturnya berbeda dan begitu menakjubkan. Terdapat sungai yang mengalir deras di dalam Gua Air Jernih dan ianya mengalir keluar ke Sungai Litut tempat kami mandi manda sambil menjamu selera makan tengahari
Selepas makan tengahari kami meneruskan perjalanan melalui Sungai Melinau semula untuk ke kem 5 di mana semua pendaki akan berkumpul sebelum mendaki Pinnacles pada keesokan harinya.
Dengan ditemani jurupandu Robert, porter Salas seorang pemuda Penan dan Ah Seong pemuda Iban, kami berjalan sejauh 9km melalui jalan yang berbatu dan ada kalanya lecak menuju ke kem 5.
Bagi seorang pencinta alam semula jadi, berjalan dalam hutan sebegini memang menyoronokkan dan tidak terasa keletihan walaupun berjalan jauh dengan beban yang dibawa. Terdapat dua jambatan gantung di laluan ini dengan aliran sungai yang deras di bawahnya.
Selepas dua jam berjalan akhirnya kami sampai di kem 5, tempat kami menginap pada malam itu. Antara kemudahan yang disediakan di kem itu ialah tempat  memasak, tandas, bilik mandi dan tilam kanvas 1inci, lupakan kemewahan. Kelambu disediakan dengan bayaran RM15 semalam.
Hanya bunyi deruan air sungai di sebelah kem ini saja yang kuat kedengaran sambil kami menikmati biskut kering dan kopi panas melepaskan penat berjalan. Sebelum tidur kami diberi taklimat keselamatan ketika mendaki Pinnacles seperti keadaan trek, masa, cara berjalan, penggunaan tangga dan tali.
Seawal jam 4 pagi, kami bangun untuk bersiap, solat Subuh dan bersarapan. Jam 6.30 pagi kami mula mendaki.
Memang betul kata Robert, untuk mendaki Pinnacles memerlukan stamina yang cukup tinggi. Seseorang pendaki mesti sampai ke anak Pinnacles yang jaraknya 900meter dari kem dalam masa satu jam, jika gagal pendaki tersebut tidak boleh meneruskan pendakian. 
Kami semua berjaya melepasi masa yang ditetapkan.
Menurut Robert kebanyakan pendaki gagal di aras 900 meter pertama ini dan terpaksa berpatah balik. Semakin tinggi didaki semakin sukar pendakian dan pendaki terpaksa berpaut pada akar kayu dan batu-batu yang tajam.
Setelah empat jam mendaki akhirnya kami sampai juga di Pinnacles, satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Walaupun jaraknya 2.4km dari kem 5 tetapi kesukaran pendakian itu yang paling mencabar.
Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Robert dan Dina kerana membantu kami mencapai impian ini. Walaupun tinggal beberapa hari saja di homestay ini, namun keramahan ,masakan yang sedap serta berhibur dengan karaoke menjadi kenangan buat kami.

No comments:

Post a Comment