Friday, 20 October 2017

Ruang Bicara Bersama Fara Fauzana...

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan syarikat pengiklanan Grab Media Sdn Bhd hari ini menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bagi menerbitkan program televisyen Ruang Bicara bersama Farah Fauzana.
Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh berkata program sebanyak 30 episod itu yang dihoskan selebriti terkenal Fara Fauzana akan menonjolkan peranan, kreativiti, keupayaan, rintangan dan kejayaan yang dicapai oleh usahawan dan ahli korporat di negara ini.
"Kedua-dua pihak mengharapkan agar program itu dapat memberi idea dan inspirasi kepada semua," katanya dalam ucapan pendahuluan pada majlis pemeteraian itu di Wisma Bernama.
MoA itu ditandatangani Zulkefli dan Pengarah Eksekutif Grab Media Jamal K Mohd Yusoff, disaksikan Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang.
Turut hadir Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab dan Timbalan Ketua Pengarang Datuk Mokhtar Hussain.
Dalam pada itu, Zulkefli berkata Bernama mempunyai kepakaran wartawan dan penyunting yang boleh membantu mengeluarkan berita bersesuaian dengan tujuan program tersebut.
"Kita mempunyai lebih 500,000 pengikut Facebook dan 600,000 pengikut Twitter di mana saluran media sosial sama penting bagi tujuan menguar-uarkan sebarang maklumat berguna untuk pengetahuan umum," katanya.
Sementara itu, Jamal K berkata Grab Media melihat Bernama sebagai aset dan mempunyai kekuatan untuk memperolehi pengalaman yang seharusnya diterokai semua pihak.
"Program tersebut mempunyai potensi besar untuk meningkatkan jumlah penonton jika ditambah jumlah pengikut Fara Fauzana itu sendiri," katanya.
Program Ruang Bicara itu boleh ditonton di Bernama News Channel bermula November 2017 di Astro saluran 502, MyPreview (121), HyppTV (410) dan di laman sesawang Bernama.com.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment