Wednesday, 4 October 2017

DUIT membawa ke Makkah...

Sepasang suami isteri ‘berbulan madu’ dengan berbasikal menjelajahi 14 negara dari Malaysia ke Makkah berbekalkan DUIT – bukan wang tetapi Doa, Usaha, Ikhtiar dan Tawaqqal.
Pengembaraan selama 15 bulan itu bukan sahaja membolehkan Ahmad Mohd Isa dan Noradilah Mohd Sapie saling mengenali dengan lebih mendalam tetapi membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil untuk dicapai dalam hidup.
“Bayangkan masa nak flag-off, cuma ada RM3,000 dalam bank untuk bergerak ke Makkah dan saya cakap kepada isteri, tak apa mana yang sampai saja.
“Apa-apa nak buat ialah duit, bukan money tetapi DUIT…doa, usaha, ikhtiar dan tawaqqal.
“Alhamdulillah dengan prinsip DUIT ini, kami boleh sampai ke Makkah,” kata Ahmad dalam segmen Inspirasi Pagi program NINE11 yang disiarkan Bernama News Channel (BNC) pagi ini.
Mereka muncul untuk berkongsi pengalaman pengembaraan itu yang dinamakan ‘Kembara Memburu Hikmah (KMH)’ meliputi 13,000km  bermula dari Masjid Negara, Kuala Lumpur pada 8 April tahun lepas.
Negara-negara yang mereka kunjungi ialah Thailand, Myanmar, India, Afghanistan, Nepal, Pakistan, China, Kyrgystan, Kazakhstan, Uzbekistan, Iran, Emiriyah Arab Bersatu dan Arab Saudi.
Selain menghasilkan buku, pengembaraan itu memberikan ilham kepada mereka untuk mengeluarkan kameja T bagi memudahkan komunikasi ketika berkunjung ke luar negara.
“Perjalanan kami ke 14 negara ada kalanya menghadapi kesukaran berkomunikasi kerana tidak mengetahui bahasa tempatan…apa yang kami buat setelah balik ialah menghasilkan T-shirt ini yang mempunyai 14 ikon,” katanya sambil menunjukkan kepada kameja T yang dipakainya.
Ikon-ikon itu melambangkan tempat atau kemudahan yang boleh ditunjukkan oleh pemakai baju kepada penduduk tempatan jika memerlukan semasa berada di luar negara.
Baju T dan buku itu dijual menerusi Facebook KMH yang turut memuatkan catatan, foto serta video perjalanan mereka.
Ketika ditanya detik yang menjadi memori baginya, Noradilah menceritakan mengenai saat cemas ditimpa sakit ketika berada di sebuah kawasan pergunungan di Pakistan dalam keadaan suhu sejuk.
“Tak sangka jalannya mencabar dan saya yang tak cukup tidur dan penat, begitu lemah...tak boleh berjalan, nyawa seakan di hujung tanduk.
“Dia sorong basikal saya, kemudian sorong basikal dia pulak…dia pikul saya…Alhamdulillah Allah datangkan pertolongan kerana ada pos askar di atas sana dan ada doktor untuk beri rawatan,” katanya.
Kedua-duanya menyatakan bahawa mereka tidak mengenali satu sama lain sebelum berkahwin.
“Saya kenal ibu dia yang saya panggil Umi,” kata Noradilah, yang menerima ‘lamaran’ Umi untuk beliau berumahtangga dengan Ahmad.
Mengakui ‘terpengaruh’ dengan kisah Ibnu Batutah, yang mengembara ke seluruh dunia bermula dengan Makkah, beliau bersedia mengikuti Ahmad untuk memenuhi impian suaminya berbasikal ke seluruh dunia.
Ahmad berkata beliau menghargai pengorbanan Noradilah, yang berjaya mencapai 'KPI' yang ditetapkannya sebelum mereka memulakan misi menjelajahi dunia.
Selepas berkahwin, mereka pertama kali berbasikal bersama dari Batu Caves ke Sabak Bernam sejauh 110km, sebelum ke Pantai Timur. 
Katanya, mereka “berkenalan” dengan lebih dalam lagi sebagai suami isteri sepanjang perjalanan itu.
“Alhamdulillah, kami melepasi ujian...” katanya. 

No comments:

Post a Comment