Monday, 30 October 2017

Salam penghargaan Duta Besar...

Azeman (kiri) dan Datuk Seri Zahrain (kanan) bersama 
Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia Rudyantara

Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim merakam  penghargaan dan ucapan terima kasih kepada saudara Azeman Ariffin yang akan menamatkan perkhidmatan sebagai koresponden Bernama di Indonesia.
“Sepanjang perkhidmatan saudara di sini banyak kemajuan signifikan dalam aspek hubungan dua hala Putrajaya - Jakarta dicapai dan diserlahkan,” katanya dalam surat kepada Azeman yang berkhidmat selama tiga tahun di Jakarta.
Beliau berkata kemajuan itu tidak dapat dicapai sekiranya tiada usaha dan inisiatif dari Azeman menerusi liputan media positif dan muhibah yang dikendali dan dicetuskannya.
“Selain itu, peranan dan penglibatan saudara dalam melestarikan engagement kedutaan dengan media Indonesia juga sangat bernilai khususnya menerusi program strategik mesra media.
“Peranan saudara dalam menjayakan program serta aktiviti anjuran kedutaan besar Malaysia di Jakarta amat dihargai oleh warga kedutaan semua,” katanya.
Surat penghargaan Duta Besar itu disebut oleh Ketua Pengarang Datuk Zakaria Wahab dalam mesyuarat penyelarasan mingguan Bernama petang ini.
Sambil mengucapkan tahniah kepada Azeman, beliau berharap penggantinya Saudara Mohd Shukri Ishak akan meneruskan perkhidmatan yang cemerlang.
“Kita berharap beliau akan terus menjulang nama baik Bernama serta Malaysia,” katanya.
Azeman akan kembali ke ibu pejabat sebagai Editor 2 Perkhidmatan Berita Antarabangsa pada 13 November ini.


No comments:

Post a Comment