Thursday, 26 October 2017

Pusat Kecemerlangan diminta keluarkan buku kursus kewartawanan...

Ketua Pegawai Pemasaran Bernama TV Syed Khedher Ismail Alqudsy kembali ke Pusat Kecemerlangan dan Latihan sebagai Pengurus Kanan Latihan berkuatkuasa 16 Oktober lepas.
Beliau mengambilalih jawatan itu berikutan persaraan Encik Ahmat Wahab pada 27 September lepas.
Syed Khedher berada di Bernama TV selama kira-kira setahun enam bulan sejak April 2016 sebelum ditukarkan semula ke Pusat Kecemerlangan.
“Pertukaran ini tidaklah begitu memeranjatkan kerana Pengurus Besar telah membayangkan kepada saya untuk kembali ke unit latihan beberapa bulan lepas,” katanya.
Kehadirannya sebagai Pengurus Kanan Pusat Kecemerlangan pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bernama hari ini mendapat perhatian Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh yang mengharapkan Syed Khedher menjadikan pusat itu cemerlang dalam penggal kedua pimpinannya.
Datuk Zulkefli mahu Pusat Kecemerlangan mengeluarkan buku mengenai kursus kewartawanan yang dianjurkannya untuk  memberi impak serta menaikkan nama Bernama sebagai organisasi media terkemuka.
Beliau mengemukakan cadangan itu selepas Syed Khedher melaporkan mengenai Bernama School of Journalism (BSJ) yang telah menganjurkan kursus seperti ‘Persediaan Liputan Belanjawan’ oleh mantan Pengurus Besar Datuk Yong Soo Heong pada 17 Oktober lepas.
Seramai 14 peserta menghadiri kursus itu bertujuan memastikan wartawan Bernama membuat liputan berkualiti mengenai belanjawan yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan di Dewan Rakyat esok.
Datuk Zulkefli bertanyakan sama ada rakaman dibuat semasa Datuk Yong menyampaikan kursus kerana ia boleh dijadikan transkrip sebagai modul untuk dibukukan.
“Ini serius kerana banyak perkara yang dicakap semasa mengendalikan kursus adalah penting dan boleh menjadi panduan kepada wartawan,” katanya.
Beliau juga mencadangkan agar kepakaran mantan Pengurus Besar Datuk Syed Jamil Jaafar dalam bidang penyuntingan diberi perhatian dengan mendapatkan beliau  mengadakan kursus penyuntingan.
“Ïtu kelebihan dia…dia boleh spot mistakes and teach editors the art of reprimanding reporters,” kata Datuk Zulkefli yang menganggap kepakaran Datuk Syed Jamil menjangkau sehingga peringkat antarabangsa.
Seorang lagi yang boleh menjadi tenaga pengajar ialah Pengarah NAM News Network (NNN) Encik Musa Scully, seorang pengarang berita yang dihormati semasa berkhidmat dengan Bernama.
Syed Khedher menyambut baik saranan Pengurus Besar agar modul kursus yang dijalankan oleh Bernama School of Journalism dibukukan.
Ini termasuklah kursus liputan Belanjawan yang dikendalikan oleh Datuk Yong. Selain transkrip, video kursus itu juga perlu disediakan untuk dijadikan bahan rujukan.
"Üntuk itu, saya akan berusaha mempastikan agar Pusat Kecemerlangan menjadi pilihan bagi agensi-agensi serta badan korporat untuk menghadiri kursus yang sesuai seperti menangani krisis (crisis communications) yang dikendalikan oleh editor-editor Bernama sebagai tenaga pengajar,” katanya.
Malah, beliau berkata hubungan baik Bernama dalam OANA (Pertubuhan Agensi-agensi Berita Asia Pasifik) serta jaringan organisasi media yang lain menyediakan potensi bagi Bernama memperluaskan kepakaran dalam latihan kewartawanan ke peringkat global.

No comments:

Post a Comment