Friday, 6 October 2017

Mengenali kamera baharu..

Setiap kali menerima peralatan fotografi yang baharu, kesemua jurufotografi Bernama dari biro dan ibu pejabat akan berkampung di Wisma Bernama bagi mengulangkaji kemahiran mereka dalam bidang profesional itu.
Kali ini, sebanyak 45 jurufotografi menghadiri kursus peningkatan kerjaya dan teknologi kamera DSLR selama tiga hari bermula hari ini.
Kursus dirasmikan oleh Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh di Pusat Kecemerlangan Wisma Bernama dengan turut dihadiri Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abd Wahab, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Mokhtar Hussain serta wakil-wakil syarikat pengeluar peralatan fotografi.
Walaupun sebahagian besar jurufotografi berkursus namun operasi Meja Foto tetap berjalan seperti biasa yang mana mereka yang terbabit dalam tugasan berada di lokasi tugas.
Yang tidak sempat menghadiri kursus pada waktu siang memilih waktu malam untuk mengikutinya.
Kursus yang mengundang pakar-pakar bidang fotografi dan peralatannya dihujani dengan pelbgai pertanyaan peserta untuk mendapatkan maklumat yang jelas tentang peralatan terkini itu.
Sesungguhnya kursus ini bukan sekadar mengulangkaji kebolehan peserta kursus dalam bidang fotografi tetapi juga meningkatkan pengetahuan sebelum mereka menggunakan peralatan fotografi baharu yang akan dibekalkan kepada mereka.
Mereka akan menamatkan kursus Ahad ini dengan membawa pulang peralatan baharu yang canggih selain semangat baru untuk terus bekerja keras bagi Bernama.
Tanggungjawab besar mereka bukan sahaja untuk menjadi perakam peristiwa melalui foto tetapi juga bertanggungjawab terhadap aset bernilai puluhan ribu ringgit yang dibekalkan.
Apa pun pandangan terhadap jurufotografi, hakikatnya mereka adalah insan kreatif dan menghargai nilai profesional mereka yang sekian lama telah terbukti dalam rakaman sejarah.
Tugas jurufotografi Bernama kini lebih mencabar kerana mereka bukan sahaja menghasilkan gambar-gambar berkualiti dalam saingan media lain tetapi juga merakam video dan yang terbaharu mengendalikan dron untuk liputan peristiwa yang lebih sempurna. 
Kata orang "perahu sudah di air dan pendayung sudah di tangan" dan masa untuk bergerak dengan peralatan fotografi yang baharu pasti mengujakan.

Catatan dan foto Adnan Jahaya

No comments:

Post a Comment