Friday, 27 October 2017

Pilihan muka depan...

Ketika tumpuan ramai diberikan kepada pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan di Dewan Rakyat petang ini, muka depan akhbar-akhbar utama tempatan hari ini menarik perhatian kerana memaparkan sekeping foto Bernama.
Foto itu menunjukkan Datuk Seri Najib sedang memasukkan teks ucapan Bajet 2018 ke dalam beg.
Ia dirakam oleh jurufotografi Bernama Harry Salzman Abu Bakar semasa Datuk Seri Najib meninjau persiapan akhir Bajet 2018 di Kementerian Kewangan di Putrajaya.
Turut hadir Menteri Kewangan kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz dan Datuk Lee Chee Leong, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah.
Harry, yang telah bertugas di Biro Putrajaya selama lapan tahun, gembira kerana foto itu mendapat tempat di muka depan akhbar-akhbar utama.
"Memang menjadi target saya menghasilkan yang terbaik setiap kali assignment...bukan setakat pergi untuk ambil gambar," katanya yang telah berkhidmat dengan Bernama sejak 20 tahun lepas.
"Memang PM happy aja masa buat tinjauan itu," katanya.
Seorang pegawai wanita Kementerian Kewangan telah menyapa Harry dengan menyatakan beliau pernah membuat latihan amali di Bernama semasa menuntut di universiti.
"Kalau perasan, dalam gambar itu, dia berdiri di belakang antara PM dengan pegawai yang memegang beg tersebut," kata Harry.   

1 comment:

  1. Tahniah Bernama...walaupun media sosial kini menjadi saingan utama penyebaran berita...Bernama tetap relevan dan utuh dlm menyiarkan berita dan gambar. Tqvm Bos Zukiman

    ReplyDelete