Tuesday, 3 October 2017

UPSI hasrat jalin kerjasama dengan Bernama...

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berhasrat menjalin kerjasama lebih erat dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi melonjakkan namanya sebagai universiti pendidikan nombor satu di rantau ini.
Perkara itu dinyatakan dalam sesi perbincangan antara universiti itu yang diwakili tujuh kakitangan Bahagian Komunikasi Korporat dengan Bernama yang diketuai Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab sempena lawatan kerja UPSI ke ibu pejabat agensi berita itu hari ini.
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI Mohd Husyaini Hashim berkata lawatan itu merupakan antara inisiatif dalam pelan strategik jabatannya untuk menjadikan UPSI, yang merupakan institusi pendidikan tertua di Malaysia, sebagai universiti mesra media.
"Niche kami (UPSI) ialah pendidikan dan untuk menyebar luaskan lagi maklumat berkenaan perkembangan pendidikan, penyelidikan, dan penerbitan yang ada di UPSI, kami perlukan pasukan media dan kita tidak boleh memandang rendah terhadap peranan media.
"Jadi hari ini kami berbincang dengan Bernama untuk mencari ruang dan peluang untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat untuk sama-sama melonjakkan nama UPSI sebagai universiti pendidikan nombor satu di rantau ini,” katanya selepas perbincangan itu.
Pada perbincangan itu, UPSI turut menyatakan hasrat untuk menghantar pelajar mereka ke Bernama bagi menjalani latihan berkaitan pengurusan media termasuklah pengendalian peralatan penyiaran serta penulisan berita.
Datuk Zakaria berkata Bernama sangat gembira dan berbesar hati dapat membantu UPSI meningkatkan peranan media mereka.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment