Friday, 20 October 2017

Thanabalan cenderung beraksi kelab luar negara...

Penyerang skuad bola sepak Bawah 22 (B-22) kebangsaan, N.Thanabalan bertandang ke Wisma Bernama hari ini untuk berkongsi pengalaman dalam sesi bual bicara Program Inspirasi Sang Juara anjuran Pusat Kecemerlangan Bernama.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, beliau mengakui lebih cenderung untuk beraksi bersama kelab di luar negara berbanding kelab tempatan untuk  masa depan kerjayanya.
Thanabalan, 22, berkata permainan pantas dan lebih agresif di luar negara merupakan peluang terbaik  bagi dirinya untuk mengembangkan bakat selain meningkatkan mutu permainan dan ketahanan fizikal.
“Jika saya mendapat dua tawaran yang sama baik di Malaysia dan di luar negara, saya akan lebih memilih untuk bermain di luar negara seperti Thailand kerana ia platform terbaik untuk menjadi lebih baik. Peluang seperti itu mungkin hanya datang sekali dan sebagai pemain yang masih muda saya tidak melihat bermain di Thailand sebagai satu masalah.
“Saya difahamkan memang ada beberapa kelab Thailand dan juga Liga Super yang berminat tetapi masih terlalu awal untuk bercakap mengenai itu…lagi pun saya masih ada baki kontrak bersama Negeri Sembilan. Kita tunggu dan lihat sahaja,” kata anak jati Negeri Sembilan itu,
Dalam pada itu, Thanabalan menyifatkan kemewahan dan nama bukan penyebab beliau lebih tertarik untuk mewakili kelab luar, tetapi jaminan aksi 90 minit di atas padang adalah faktor utama dalam membuat pemilihan sesebuah pasukan.
Beliau berkata berkelana di negara luar mampu menjadikan dirinya lebih berdisiplin selain dapat memberikan tumpuan penuh terhadap perjalanan kariernya.
“Tidak kira sama ada bermain di divisyen satu ataupun dua, bermain di Thailand pasti akan memberi satu pengalaman yang berharga dan apa sebenarnya yang saya mahukan adalah jaminan waktu bermain.
“Saya rasakan apabila anda bermain di luar negara, anda akan dapat lebih memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap karier anda kerana jika di sini, bagi saya terdapat banyak gangguan,” katanya.
--  BERNAMA

No comments:

Post a Comment