Thursday 27 April 2017

Tingkat penguasaan Bahasa Melayu menerusi puisi...

Pertandingan menulis dan mendeklamasi puisi boleh menjadi satu daripada platform bagi petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) meningkatkan penguasaan bahasa Melayu selain memperkasa bahasa kebangsaan itu.
Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh berkata petugas Bernama perlu mengambil peluang menyertai pertandingan berkaitan bagi mencapai objektifnya selain menajamkan penulisan berita mereka.
"Pelbagai bahasa indah dapat dihasilkan melalui penulisan puisi. Saya percaya petugas Bernama khususnya wartawan akan mendapat faedah daripada pertandingan ini.
"Jika minat sudah tertanam, maka ambillah peluang ini untuk kuasai bahasa Melayu secara lebih mendalam," katanya pada majlis penyampaian hadiah untuk para pemenang pertandingan itu di Wisma Bernama hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab.
Pertandingan Menulis dan Deklamasi Puisi diadakan sempena sambutan Jubli Emas Bernama tahun ini.
Seramai 11 peserta mengambil bahagian bagi kategori deklamasi puisi manakala 25 peserta bagi kategori penulisan puisi.
Zulkefli berharap pertandingan itu tidak akan terhenti begitu sahaja, kerana beliau mahu ia dimasukkan ke dalam kalendar aktiviti tahunan Bernama sebagai satu daripada usaha agensi berita itu membantu wartawan yang bukan sahaja dapat menghasilkan berita, malah memastikan berita itu mempunyai nilai tersendiri dalam penyampaian bahasa dan olahannya.
Pemenang kategori deklamasi puisi, Muhammad Khairul Hakimi Abdullah, 23, yang mempertaruhkan puisi bertajuk "Aku Mahu Bangkit" berkata beliau kini mengintai peluang menyertai pertandingan puisi di peringkat tinggi bagi mengharumkan nama Bernama.
Anak kelahiran Alor Setar, Kedah yang bertugas sebagai penerbit rancangan di Bernama Radio itu mengambil masa kira-kira dua jam menghasilkan puisi berkisarkan tentang semangat patriotisme.
"Kemenangan ini merupakan batu loncatan untuk ke peringkat tinggi. Ini kali pertama percubaan saya namun ia membuahkan hasil," katanya.
Wartawan Meja Rencana, Nurul Halawati Mohd Azhari, 40, yang muncul juara kategori penulisan puisi bertajuk "Lima Dekad" berkata penyertaan beliau mengimbas kenangan sewaktu zaman persekolahan kerana beliau begitu meminati puisi sejak di bangku sekolah.
Beliau mengakui bahawa minat itu sentiasa tertanam pada dirinya lebih-lebih lagi beliau telah berkhidmat selama 11 tahun dalam bidang kewartawanan yang menuntut beliau memantapkan lagi penguasaan bahasa ibunda selain bahasa Inggeris.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment