Wednesday 26 April 2017

Bernama sumbang 220 buku, akhbar sisipan untuk pupuk amalan membaca pelajar...


Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menyumbang 220 bahan bacaan dan 45 akhbar sisipan Didik dalam usaha menyemarakkan lagi amalan membaca dalam kalangan pelajar.
Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Mokhtar Hussain berkata Jambori 3B (Baca Bersama Bernama) yang dimulakan sejak Disember 2015 telah melahirkan azam dalam kalangan petugas Bernama untuk terus mencurahkan khidmat bakti kepada masyarakat termasuk mereka yang di pedalaman.
“Amalan membaca perlu dipupuk untuk melahirkan generasi yang berilmu serta berpengetahuan luas, dan pada masa sama ibu bapa juga digalakkan membaca untuk menunjukkan teladan.
“Di samping itu, agensi berkaitan juga perlu memberi sokongan seperti apa yang sedang kita laksanakan ketika ini yang mana kita jadikan program Jambori 3B sebagai tanggungjawab sosial korporat kita kepada masyarakat yang memerlukan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Kem Membaca 1Malaysia 2017 dan Penyerahan Sumbangan Sisipan Didik di Sekolah Kebangsaan Sega, Rantau, dekat Seremban.
Turut hadir,  Pengetua SK Sega Fadilah Haroon, Pengurus InfolibNews Bernama Hasnita Ibrahim dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sega Muhammad Fauzan Abdul Wahid.
Pada majlis itu, Mokhtar turut menasihatkan pelajar supaya terus mengamalkan budaya membaca buku walaupun ketika ini budaya membaca kian terhakis akibat ledakan teknologi maklumat.
“Tarikan teknologi masa kini mendorong golongan belia hari ini lebih gemar membaca di alam maya berbanding bahan cetak. Walaupun arus perkembangan semasa perlu diikuti, tabiat membaca buku tidak boleh dibiarkan terhakis dalam diri terutamanya golongan muda. 
Mengenai program 3B yang dijalankan di SK Sega, Mokhtar berkata sekolah itu dipilih kerana ia merupakan sekolah pedalaman dan memerlukan bahan bacaan yang lebih banyak.
"Jadi untuk pupuk tabiat suka membaca dan memberi motivasi pelajar sekolah ini, kita sumbangkan bahan bacaan yang pelbagai, supaya mempunyai lebih banyak pilihan untuk dibaca," katanya. 
Sementara itu, Muhammad Fauzan berkata kecenderungan pelajar yang kini beralih kepada bahan bacaan di alam maya merupakan cabaran besar bagi menarik minat mereka untuk kembali mengamalkan tabiat membaca secara konvensional.
“Halangan terbesar dalam kalangan pelajar kita adalah mereka tidak ada daya tarikan dan motivasi untuk membaca dan mereka ini lebih suka melayari internet untuk mencari bahan bacaan sedangkan bahan tersebut adalah sama seperti apa yang terkandung di dalam buku teks. 
"Kerana ini buku teks pada masa kini perlu diubah jika dahulu dari muka surat hadapan hingga akhir adalah teks, kini 80 peratus kandungannya adalah bergambar dan baki 20 peratus lagi adalah teks,” katanya.
--BERNAMA

No comments:

Post a Comment