Saturday 1 April 2017

Pengalaman bermalam atas bot...

Bermalam atas bot menjadi pengalaman baharu bagi ramai peserta program rekreasi 'JOM DERAK KE KENYIR' anjuran Kelab Kakitangan Bernama (KKB) yang bermula semalam hingga esok.
Seramai 47 orang peserta program itu bertolak dari Wisma Bernama jam 11 malam hari Khamis dengan menaiki dua buah bas yang disewa daripada Bank Rakyat.
Mereka tiba di jeti Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir pada jam 7.30 pagi semalam.
"Tidur dalam bot merupakan pengalaman baru untuk saya sebab pertama kali merasakannya.
"Seronok rasanya sebab dapat melihat suasana tasik dari dekat," kata seorang peserta.
Dua buah bot digunakan untuk tujuan itu. 
Menurutnya, aktiviti hari ni termasuk berkunjung ke santuari kelah dan mandi air terjun di Sungai Saok.
"Petang ini baharu hujan," katanya mengenai cuaca di tasik itu.
Tasik Kenyir merupakan destinasi pelancongan yang amat terkenal di negeri Terengganu.
Ia merupakan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara hasil pembinaan Empangan Kenyir pada tahun 1985. 
Tasik Kenyir terletak di Kawasan Barat Daerah Hulu Terengganu, kira-kira 55 km dari Bandar Kuala Terengganu. 
Keluasan kawasan Tasik Kenyir ialah 260,000 hektar. Di Tasik Kenyir juga terdapat 340 buah pulau yang pada asalnya ialah kemuncak bukit yang tidak ditenggelami air. 
Tasik Kenyir menjadi lubuk pelbagai spesies ikan air tawar. 
Antara spesies ikan air tawar yang ada ialah Ikan Toman, Baung, Sebarau, Kaloi, Kelah, Tapah, Lampam dan Kelisa. 

No comments:

Post a Comment