Hubungan
baik antara Bernama dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB)
dipertingkatkan dalam mempromosi barangan berasaskan kayu.
MTIB
hari ini menyerahkan barangan kelengkapan studio untuk program Ruang
Bicara yang disiarkan menerusi Bernama News Channel (BNC).
Antara barangan berasaskan kayu bernilai RM40,000 yang
disumbangkan termasuk penyediaan pentas, backdrop dan perabot.
Ketua Pengarah MTIB, Datuk Dr Jalaluddin Harun berkata lembaga itu
berbesar hati menyediakan barangan tersebut setelah menjalin hubungan baik
dengan Bernama hampir lima tahun.
"Melalui program Ruang Bicara ini, MTIB dapat mempromosi
industri perkayuan negara kepada masyarakat umum. Secara tidak langsung, ia
dapat menyemarakkan lagi agenda perkayuan di negara ini," katanya selepas majlis simbolik penyerahan
kelengkapan tersebut di Wisma Bernama.
Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abd Wahab mengucapkan terima
kasih atas sumbangan yang diberikan.
"Bagi Bernama, kami bangga kerana ada pihak (MTIB) sudi
menyumbang barangan kelengkapan bagi ruang studio ini,
menjadikannya lebih hebat dan canggih hasil produk
tempatan.
“Bernama juga dapat membantu MTIB mempromosi
kegiatan industri perkayuan negara, sekali gus industri ini dapat
menghasilkan produk-produk berasaskan perkayuan untuk dieksport
ke luar negara,” katanya.
Program Ruang Bicara merupakan antara program di BNC yang ke
udara secara langsung selama sejam setiap Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 10
malam.
Rancangan itu dihoskan oleh Dahlan Maamor dan Sherkawi Jirim
bersama panel jemputan bagi membincangkan isu-isu semasa dalam negara termasuk
politik dan ekonomi.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment