Thursday 6 April 2017

Bernama, AirAsia kaji peluang tingkat kerjasama...

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan AirAsia Bhd akan mengkaji peluang untuk meningkatkan kerjasama strategik berdasarkan kekuatan masing-masing untuk faedah dan kepentingan bersama. 
Pengerusi Eksekutif AirAsia Datuk Kamarudin Meranun berkata sebagai syarikat berkonsepkan gaya hidup, AirAsia amat mengalu-alukan kerjasama dengan Bernama kerana ia mampu memberi kesan positif terutamanya dalam bentuk promosi bagi kedua belah pihak. 
"Bentuk kerjasama akan dibincangkan secara terperinci selepas ini. Pertemuan susulan akan diatur di antara kedua-dua pihak selepas ini," katanya selepas menerima lawatan delegasi Bernama yang diketuai Ketua Pengarangnya Datuk Zakaria Abdul Wahab ke ibu pejabat AirAsia RedQ di Sepang hari ini.
Zakaria pula berkata Bernama menyediakan platform media yang luas termasuk televisyen untuk menjalin kerjasama dengan syarikat penerbangan berkenaan.  
"Perbincangan susulan di antara Bernama dan AirAsia selepas ini akan mengenal pasti ruang kerjasama yang paling sesuai bagi menghasilkan situasi 'menang-menang' bagi kedua-dua pihak," katanya.
Mengulas mengenai lawatan ke RedQ, Zakaria berkata beliau kagum dengan konsep ibu pejabat berkenaan yang moden dan santai seperti ibu pejabat Google di Amerika Syarikat. 
Antara delegasi Bernama dalam lawatan itu ialah Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Roslan Ariffin, Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Siti Hawa Othman, Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa Nor Faridah Abdul Rashid, Editor Tugasan Bernama News Channel Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah dan Pengurus Kanan Bahagian Jualan Nasional Norena Wati Yaacob. 
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aireen Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Bhd Benyamin Ismail juga menghadiri sesi perbincangan bersama delegasi Bernama itu.
-- BERNAMA



No comments:

Post a Comment