Catatan ini dihasilkan menjelang sambutan Jubli Emas BERNAMA Mei ini. Ia sebagai penghargaan kepada BERNAMA yang memberi ruang kepadaku mencari rezeki sejak kira-kira 23 tahun lepas.
Luahan rasa ini terhasil ketika berehat sementara menunggu masuk waktu bertugas hari ini.
Lima Dasawarsa Penuh Berjasa
Tahun ini
genaplah setengah abad riwayatmu
usia matang penuh gemilang
bermula serba sederhana
kini namumu tersohor merata
dari desa hingga ke kota
dari kota ke seluruh buana
Lima dasawarsa telah kau lalui
pelbagai cabaran telah kau tempuhi
juga
banyak jalan telah kau rintis
pelbagai berita telah kau tulis
dari nasib si miskin dimamah keperitan
hinggalah kisah maharaja di istana kehebatan
dari perkembangan dalam negara
hinggalah ke persada antarabangsa
dan dari bencana alam
hinggalah ke medan perang
semuanya kau garap dengan penuh berhemat
kau hidang dengan penuh terhormat
dalam wadah sarat bermaklumat
Zaman berlalu era berganti
namun kau tetap teguh berbakti
beritamu sentiasa dinanti
wibawamu tak pernah dicurigai
di titi hakiki engkau berpaksi
BERNAMA
semoga khidmatmu terus cemerlang
di jagat raya citramu terbilang
di landasan kebenaran engkau berjuang
pasti namamu sentiasa dijulang
-- Shamsudin Puteh
No comments:
Post a Comment