Perbadanan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) mengambil pendekatan mengadakan pameran di agensi kerajaan dan swasta bagi mempromosikan perumahan tersebut kepada golongan sasaran.
Jurucakap pameran tersebut Nor Nashreef Nor Azmi berkata inisiatif itu bertujuan memberi kemudahan kepada golongan sasaran mendapatkan maklumat dan urusan pembelian kediaman di bawah satu bumbung.
"Ramai yang pernah mendengar tentang rumah PR1MA tetapi tidak tahu cara untuk memohon dan mendaftar jadi mereka boleh mendapatkan maklumat-maklumat ini secara langsung di kaunter disediakan.
"Warganegara Malaysia berusia 21 tahun ke atas berpendapatan isi rumah individu atau keluarga antara RM2,500 ke RM15,000 layak memohon," katanya.
Hari Terbuka Jualan Rumah PR1MA diadakan di Wisma Bernama hari ini.
Nor Nashreef berkata orang ramai berpeluang mendapatkan rumah idaman menerusi 19 projek PR1MA di seluruh negara yang dijual dengan harga antara RM100,000 hingga RM400,000.
Antaranya projek PR1MA Alam Damai di Lembah Klang, Tebrau (Johor), Bagan Serai (Perak), Kota Marudu (Sabah) dan Matang (Sarawak).
"Orang ramai yang berminat perlu bijak merebut peluang dan sentiasa peka memandangkan unit-unit rumah ini laris dijual dan jumlah yang tinggal sentiasa berubah bergantung kepada keadaan," katanya.
PR1MA meletakkan sasaran untuk menyiapkan sebanyak 15,000 unit rumah pada tahun ini dengan jumlah 4,243 unit rumah PR1MA telah terjual setakat Januari tahun ini.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment