Tuesday 4 April 2017

Senarai calon Hadiah Kewartawanan Malaysia dipapar di laman web MPI...

Foto Bernama
Sebanyak 291 penyertaan diterima bagi 20 kategori pertandingan untuk Hadiah Kewartawanan Malaysia 2016.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI) Datuk Chamil Wariya berkata pemenang bagi setiap kategori akan menerima wang tunai RM10,000, sijil dan trofi.
Karya terbaik akan dinobatkan sebagai penerima Hadiah Kajai dengan hadiah wang tunai RM30,000, sijil, trofi dan hadiah iringan lain.  
Buat pertama kali, anugerah Tokoh Media akan diberikan kepada seorang individu yang memberi sumbangan kepada organisasi.
Hadiah-hadiah akan disampaikan pada Malam Wartawan Malaysia, Malaysian Press Institut-Petronas (MWM MPI-Petronas) 2017 pada 21 April ini.
Chamil berkata bilangan penyertaan bagi pertandingan kali ini menurun memandangkan buat pertama kali peserta yang mengambil bahagian dikenakan yuran penyertaan RM100 bagi anggota MPI dan RM200 bagi bukan ahli.
"Bayaran ini bagi menampung bayaran kepada 20 panel hakim dan memastikan pada kali ini penyertaan benar-benar berkualiti.
"Senarai nama lima calon teratas bagi setiap kategori akan dipaparkan di laman web MPI pada 10 April," katanya pada majlis penyerahan sumbangan penajaan kepada MPI sempena majlis MWM di Kuala Lumpur hari ini. 
Penganjuran MWM mendapat tajaan bernilai RM674,500 termasuk RM300,000 sumbangan Petronas bagi menjayakan perhimpunan terbesar wartawan dan pengamal media di negara ini. 
Sokongan itu diterima daripada 40 organisasi meliputi badan korporat, agensi kerajaan dan organisasi media. 
"Sehingga hari ini, jumlah sumbangan terkumpul berjumlah RM374,500 daripada organisasi berkenaan, tidak termasuk Petronas. Jumlah tahun ini kurang sedikit berbanding tahun lalu," katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Bersama MWM 2017 yang juga Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad Datuk Mustapa Omar dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abd Wahab.  
Chamil berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dijangka hadir untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang.    
-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment