Saturday, 6 October 2018

Teruja sertai misi bantuan Sulawesi...


Ketua Meja Jenayah Bernama, Amrizan Madian begitu teruja dapat menyertai misi bantuan kemanusiaan bagi mangsa tsunami dan gempa bumi di Sulawesi, Indonesia.
“Saya kagum melihat Malaysia melalui TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) bersungguh-sungguh untuk membantu mangsa di Sulawesi,” kata Amrizan dari Jakarta petang ini.
Katanya, beliau bangga Malaysia mempunyai pesawat besar seperti A400M untuk menjalankan misi tersebut.
“Bagaimanapun setakat ini pihak berkuasa Indonesia masih tidak membenarkan pesawat besar seperti A400M untuk mendarat di Palu.
“Pihak Indonesia bimbang landasan masih tidak stabil dan berlaku kerosakan jika pesawat besar mendarat.
“Hanya pesawat C130H yang dibenarkan mendarat di Palu,” katanya.
Oleh yang demikian, sejak tiga hari  lepas, misi itu terpaksa berulang-alik antara Pangkalan Udara Halim Perdana Kusuma di Jakarta ke Lapangan Terbang Sultan Aji Muhammad Sulaiman Sepinggan Balikpapan, Kalimantan bagi membawa bantuan berkenaan.
“Kami setiap hari bangun 4 pagi dan balik 10 malam.
“Dua jam ke Balikpapan dan dua jam lagi balik ke Jakarta.
Loading barang dua jam masuk pesawat dan dua jam keluar,” kata Amrizan yang pertama kali menyertai misi seumpama itu.
Barang-barang termasuk lori tangki minyak, pakaian, peralatan khemah, katil dan makanan.
“Hari ini masuk hari ketiga misi bantuan kemanusiaan mangsa bencana gempa dan tsunami di Palu dan Donggala,” kata Amrizan yang menyertai misi tersebut menggunakan pesawat A400M TUDM yang berlepas dari Subang.
“Esok akan ke Bandung untuk bawa jentolak..harap pihak Indonesia beri kebenaran kepada A400M mendarat di sana,” katanya.
Setakat hari ini, 11 negara telah menyertai misi bantuan kemanusiaan itu.
Negara-negara berkenaan adalah Malaysia, Jepun, New Zealand, United Kingdom, India, Qatar, Australia, Singapura, Amerika Syarikat, Emiriyah Arab Bersatu dan Perancis yang menghantar 18 pesawat pengangkut tentera untuk membawa bekalan bantuan ke Palu.
Amrizan melaporkan bahawa pihak berkuasa Indonesia masih berusaha memastikan Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufri Palu selamat untuk pendaratan pesawat pengangkut yang lebih besar.
Pasukan pemantau telah dihantar ke Palu bagi memeriksa sama ada landasan di lapangan terbang itu selamat untuk pendaratan pesawat lebih besar.
Tragedi gempa dan tsunami di Palu dan Donggala pada 28 Sept lalu telah mengorbankan kira-kira 1,558 mangsa manakala kira-kira 152,000 lagi masih hilang.
Kejadian itu turut memusnahkan 65,735 kediaman.






No comments:

Post a Comment