Kerajaan
Pakatan Harapan (PH) mahu penubuhan Majlis Media Malaysia yang diperjuang warga
media sejak 1974 dipercepatkan, kata Penasihat Khas Media dan Komunikasi
Perdana Menteri Datuk A Kadir Jasin.
Beliau
berkata kerajaan bagaimanapun tidak akan bertindak menubuhkan majlis itu
sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada warga media untuk mengusahakan
penubuhannya.
"Saya
gembira kerana pengarang media tradisional, elektronik dan dalam talian telah
mula mengadakan perbincangan dan forum bagi menubuhkan majlis itu.
"Saya
juga telah bercakap dengan pihak berkenaan, mencadangkan proses penubuhan itu
dipercepatkan, malah proses itu turut dimaklumkan kepada Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad," katanya.
Beliau
berkata demikian dalam ucaptama Menjunjung Kebebasan Media: Azam Kerajaan
Baharu sempena Forum Media Kebangsaan 2018-Merealisasikan Kebebasan Media Era
Pakatan Harapan anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) di Serdang hari ini.
A
Kadir berkata kerajaan juga boleh mengusahakan majlis media diberikan
perlindungan undang-undang termasuk diletakkan di bawah kelolaan dan pembiayaan
Parlimen.
Beliau
berharap kelompok yang membincangkan penubuhan majlis itu dapat mengadakan satu
forum atau perjumpaan lebih besar melibatkan pemilik syarikat, pertubuhan
media, guru kewartawanan dan komunikasi serta badan profesional sebelum akhir
tahun ini bagi memperhalusi apakah bentuk Majlis Media Malaysia yang sepatutnya
ditubuhkan.
Tugas
menubuhkan majlis media perlu menjadi usaha bersama dan kerajaan berpandangan
kepentingan media mesti dijaga oleh golongan media sendiri tanpa melibatkan
kawalan atau campurtangan orang luar, katanya.
Dalam
pada itu, A Kadir berkata kerajaan berpandangan media tidak seharusnya
dimonopoli atau menjadi milik mana-mana syarikat berkaitan kerajaan serta parti
politik tetapi harus menjadi kehendak masyarakat.
Beliau
berkata menjadikan industri media sebagai perniagaan koperasi dengan membentuk
pemegang amanah adalah antara perkara yang boleh dilakukan bagi mengelak media
dimonopoli kumpulan tertentu.
A
Kadir turut menarik perhatian bahawa elemen pemberitaan oleh syarikat dan
agensi media masih belum mengadaptasi sepenuhnya makna kebebasan media yang
diberikan PH selepas membentuk kerajaan pasca 9 Mei lepas.
Beliau
berkata media seolah-olah masih terkongkong dengan cara kerajaan sebelum ini
sehingga tidak dapat membebaskan minda menerokai isu-isu besar yang boleh
dilaporkan seiring kebebasan yang ditawarkan.
"Sepatutnya,
apabila berkuasa, PH cenderung menghukum media yang tidak berlaku adil kepada
mereka sebelum ini, namun sebaliknya memberi sepenuh kebebasan kepada media
yang saya lihat tidak digunakan sepenuhnya oleh media ketika ini,"
katanya.
Menyentuh
sama ada pejabat Perdana Menteri menetapkan garis panduan tertentu kepada
media, A Kadir berkata tidak ada, malah spesifikasi tugas beliau tidak
membenarkan sebarang arahan diberi kepada pihak lain selain kepada Perdana
Menteri.
Rakan
wartawan dan pengarang juga memaklumkan kepada saya mereka tidak menerima
sebarang arahan atau 'wahyu' daripada mana-mana menteri atau pegawai politik
sejak PH membentuk kerajaan, katanya.
--
BERNAMA
No comments:
Post a Comment