Semasa
dia menaiki anak-anak tangga untuk memasuki lobi Wisma Bernama, beliau ditanya
mengenai beg yang dibawanya itu.
“Nak
bawa balik barang sikit-sikit…,” katanya yang jelas merujuk kepada tarikh
persaraannya yang tinggal beberapa hari sahaja.
Itulah
Datuk Zulkefli Salleh, seorang yang bersikap sederhana walaupun memegang
jawatan paling utama dalam pertubuhan ini.
Pada
majlis meraikan persaraannya dua hari lepas, koir Bernama mengakhiri
persembahan mereka dengan lagu “Kenangan Terindah” seolah-olah menyimpulkan memori
selama 39 tahun perkhidmatan Datuk Zul di Bernama.
Pemilihan
lagu yang dipopularkan oleh kumpulan Samsons itu pertama kali dinyanyikan oleh
koir Bernama yang biasanya mengalunkan lagu-lagu patriotik pada perhimpunan
bulanan Bernama.
“Setelah
mengkaji lirik dan supaya tidak terlalu ‘common’
untuk lagu perpisahan seperti yang biasa kita dengar, kami pilih lagu ‘Kenangan
Terindah’,” kata pemimpin koir Muhammad Hadi Razak dari Bernama News
Channel (BNC),
Mereka
turut menyanyikan lagu ‘Muhibah’ yang bertepatan dengan saranan yang sentiasa
disuarakan oleh Datuk Zul agar Bernama menumpukan kepada penulisan mengenai
perpaduan masyarakat.
Dalam
ucapannya pada majlis itu, beliau menekankan elemen perpaduan ini termasuk
melalui sukan.
Beliau
berharap dalam kesibukan bekerja, para petugas tidak mengabaikan bersukan.
“Saya
sendiri bermain boling dan saya dapati bertambah sihat.
“Saya
harap lebih ramai yang akan mengambil bahagian terutama dari kalangan Jabatan
Pengarang,” katanya.
Selain
penglibatannya dengan boling yang mempunyai liga tersendiri di Bernama dan disertai
para petugas pelbagai jabatan, Datuk Zul juga akan meninggalkan kenangan dalam
aktiviti kaunseling dan bimbingan kerjaya warga Bernama.
Sebagai
Pengerusi AKRAB Bernama, beliau menaikkan imej agensi berita ini kerana
penglibatan ketua paling utama sesebuah organsisasi dalam aspek bimbingan
kaunseling perkhidmatan awam.
Bagi
yang lama di Bernama dengan Datuk Zul – dari zaman wartawan hinggalah
menganggotai jawatankuasa pengurusan, tentulah mempunyai banyak kenangan
dengannya.
Banyak liputan politik yang kami lakukan dan ada peristiwa yang terus menjadi ingatan kami.
Pernah
satu ketika kami membuat liputan pilihan raya dan berkunjung ke pusat sebuah parti
politik di ibu negara.
Waktu
itu musim hujan dan kami bertanya pemimpin parti berkenaan apa rancangannya untuk
menarik orang ramai keluar mengundi.
“Kami
ada senjata sulit,” katanya dengan yakin.
Apabila
diminta untuk menyatakan ‘senjata sulit’ itu, beliau berkata: “Kalau saya
cerita, tak adalah sulit lagi”.
Sebagai
wartawan, kami tidak putus asa dan merayu untuk tahu, membuatkan pemimpin itu akhirnya
lembut hati.
“Kami dah sediakan 1,000
payung untuk kegunaan mereka yang hendak mengundi,” katanya dan kami saling berpandangan
membayangkan ‘senjata sulit’ tersebut.
Sebagai orang lama Bernama, kasih
sayang Datuk Zul terhadap agensi berita ini amat mendalam.
Bagaimanapun satu hasrat yang
tidak kesampaian ialah melihat penerbitan buku
“The Bernama story…from a rented bungalow”.
Buku itu sepatutnya
diterbitkan sempena sambutan ulangtahun ke-50 penubuhan Bernama tahun lepas.
Namun hasrat itu terus
diimpikan kerana dalam mesyuarat terakhir jawatankuasa pengurusan yang
dipengerusikannya bulan lepas, Datuk Zul bertanyakan mengenai perkembangan buku
itu dan berharap ia dapat diterbitkan jua akhirnya.
No comments:
Post a Comment