“Pelbagai perasaan saya alami di sini…sedih, semua ada.. kalau kita lihat cara mangsa yang terlibat ini, mereka seakan pasrah dan redha dengan apa yang menimpa mereka,” kata Amirul yang sudah berada di sana selama empat hari.
“Ada seorang yang saya jumpa namanya Asdik Hulopi, 48, bekerja dengan Palang Merah Indonesia.. isterinya dan ibu mertuanya tertimbus di daerah Patebo.
“Tapi dia tetap menjalankan tanggungjawabnya membantu mereka yang cedera di kampungnya sendiri,” kata Amirul, 25.
Amirul, yang sudah empat tahun menyertai Bernama, berkata pengalaman membuat liputan itu akan meninggalkan kesan mendalam kepadanya.
“Kalau dulu biasa bencana hanya melibatkan satu, sebagai contoh di Acheh, ada tsunami tapi di sini apa yang boleh saya katakan ialah kuasa kemusnahan alam memang dasyat.
“Tiga bencana berlaku dalam masa yang sama..
“Selain itu, kekuatan warga Indonesia sendiri harus diakui, walau apa pun yang menimpa mereka, mereka cuba bangkit tanpa terlalu mengenang apa yang telah berlaku,” katanya.
Tiga bencana yang dimaksudkannya ialah gempa bumi, tsunami dan kegelongsoran tanah.
“Contoh di Patebo, kawasannya berada jauh dari pantai namun kemusnahannya paling teruk di Kota Palu akibat kegelongsoran tanah,” kata Amirul yang ditemani jurufoto Mustaqim Khairuddin.
Mereka dan beberapa petugas media Malaysia menyertai Kumpulan Misi Bantuan Kemanusian Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) untuk membantu mangsa gempa berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami yang melanda Kota Palu, Jumaat lepas.
Selain menghantar berita bertulis, Amirul turut membuat liputan secara langsung menerusi Facebook tetapi siarannya sering terputus kerana tiada talian.
Beliau dapat melihat kemusnahan akibat malapetaka itu dan melaporkan mengenai keadaan yang dialami penduduk.
Amirul melaporkan mengenai suasana malam di sebahagian Kota Palu yang memperlihatkan kesukaran hidup yang dihadapi para penghuninya selepas gempa dan tsunami melanda bandar itu.
Tinjauannya semalam mendapati ada antara kawasan yang terjejas masih tidak mendapat bekalan elektrik dan air bersih yang sempurna, terutama di kawasan perkampungan yang berada di hujung bandar iaitu di Kampung Balarua, timur Kota Palu.
Kampung Balarua menjadi antara lokasi paling teruk menerima kesan bencana itu, dengan kawasan asalnya yang landai bertukar menjadi bukit yang beralun dipenuhi mangsa yang terperangkap di bawah batu-bata.
Penduduk tempatan, Mohd Nadir Kamaruddin, 33, berkata waktu malam bagaikan mimpi ngeri untuk mereka kerana suasananya sangat gelap.
"Kami sudah enam malam tidak mempunyai bekalan elektrik...apa yang kami boleh lakukan hanyalah membakar kayu dari sisa runtuhan rumah di sekeliling kami," katanya kepada Amirul.
Bagi Ruhimah Enton, 27, air bersih merupakan keperluan asas yang paling penting bagi kampung itu.
"Saya tidak kisah sekiranya tiada talian telefon, kami cuma mahu bekalan air bersih yang secukupnya sahaja," katanya sambil berharap usaha membawa bekalan air bersih ke tempat itu boleh dilaksanakan secepat mungkin.
Amirul juga melihat bagaimana ribuan masyarakat yang terjejas dengan bencana itu membina khemah sementara di sepanjang jalan raya sejauh 60km sebelum tiba di Kota Palu.
Khemah yang dibina menggunakan kanvas serta buluh itu boleh mengundang bahaya dirempuh oleh kenderaan yang lalu lalang di sepanjang jalan berkenaan.
Tinjauan beliau mendapati kawasan perkhemahan itu bermula dari Mamuju Utara, 28 km dari Donggala hingga ke Kota Palu.
Seorang mangsa yang berasal dari Kota Palu, Udin Hertiko, 31, berkata mereka membuat khemah itu kerana fobia dengan gempa susulan yang kerap berlaku.
"Mereka yang membina penempatan ini kebanyakannya mempunyai anak kecil dan takut sekiranya gempa susulan yang sering berlaku lebih teruk daripada sebelumnya.
"Ini risiko yang perlu kami ambil...lagi pun kebanyakan rumah kami di Kota Palu telah musnah," katanya.
Amirul juga melaporkan mengenai Masjid Baiturrahman yang terletak di tengah bandar Kota Palu yang menjadi antara kawasan teruk terjejas akibat gempa bumi dan kejadian tsunami itu.
Dianggarkan 800 jemaah sedang bersiap menunaikan solat Maghrib ketika musibah melanda.
Seorang mangsa, Sultami Abdul Rohim, 31, yang ketika kejadian berada berhampiran masjid itu berkata sebelum ombak naik, berlaku satu gegaran kuat hingga berlaku retakan pada bangunan.
"Gegaran itu sangat kuat sehingga ada yang menunggang motosikal jatuh dan semua orang panik cuba menyelamatkan diri masing-masing.
"Selepas gegaran itu, secara tiba-tiba datang satu arus ombak setinggi tiang elektrik terus membadai bangunan masjid serta pusat beli-belah berhampiran," katanya.
Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, jumlah mangsa korban gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah meningkat kepada 1,517 orang setakat pukul 6 petang, semalam.
No comments:
Post a Comment