Friday, 19 October 2018

Dron tarik perhatian mangsa gempa bumi...


Tinjauan wartawan Bernama Muhammad Faiz Baharin bersama jurufotografi Hafzi Mohamed  menggunakan dron membolehkan mereka melihat kemusnahan akibat gempa bumi dan tsunami di Sulawesi dengan lebih jelas.
Ia dapat menunjukkan, umpamanya, hampir keseluruhan perkampungan Sibalaya termasuk sawah padi dan ladang tanaman musnah dengan anggaran keluasan seperti dua puluh padang bola sepak.
“Rakaman dari dron dilakukan oleh Hafzi yang memang mempunyai kemahiran menerbangkan dron,” kata Faiz.
“Setiap kali dia mahu menerbangkan drone, pasti ramai anak-anak mangsa gempa dan tsunami yang teruja melihatnya,” katanya.
Mereka berdua menyertai misi bantuan kemanusiaan kali kedua Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bagi mangsa gempa bumi dan tsunami itu yang tiba di Palu pada pagi Isnin.
Faiz berkata mereka dijadualkan pulang esok dengan membawa pelbagai kenangan.
“Pengalaman paling tidak boleh lupa semestinya perang bersama emosi, sedih dan kasihan melihat mangsa,” katanya.
Semua itu harus dihadapi kerana “tugas melaporkan berita dan menemubual mangsa tetap perlu dilakukan”, katanya.
“Melihat sendiri kemusnahan kota Palu dan kesengsaraan mangsa, insaf kita dibuatnya,” kata Faiz yang telah membuat beberapa laporan secara langsung menerusi Facebook.
Faiz berkata ketika membuat laporan di Sigi, kira-kira 15km dari Palu, beliau pertama kali merasai gempa bumi dengan kekuatan kira-kira 3.4 skala.
“Alhamdulillah ketika tiba di Palu pada pagi Isnin 15 Oktober, bekalan elektrik sudah kembali pulih di beberapa kawasan dan kami menumpang di sebuah bangunan milik Sekolah Menengah Agama Al Quran Karisma di Palu yang dikosongkan selepas tragedi gempa.
“Bekalan elektrik ada cuma kadang-kadang terputus, jadi saya dan Hafzi masing-masing sudah bersedia dengan 3 power bank sebagai back up.
“Sepanjang menumpang di bangunan sekolah agama itu pun, kami tidak tidur di dalam bangunan kerana risau akan keselamatan diri sekiranya berlaku gempa susulan yang mampu meranapkan sekolah itu.
“Kami hanya tidur di laman bangunan beralaskan kotak-kotak dan sleeping bag yang dibawa sendiri.
“Di dalam bangunan hanya digunakan untuk menyimpan barang berharga seperti kamera dan laptop,” kata Faiz.
Faiz melihat banyak kesan bencana itu seperti Jambatan Palu IV atau jambatan kuning yang merupakan ikon kota Palu tetapi runtuh dibadai gempa dan tsunami.
“Sebenarnya kami rasa berat hati juga nak balik, belum puas buat liputan,” katanya.
“Kami tidak berkesempatan pergi ke dua lagi lokasi gempa iaitu di Balaroa dan Donggala kerana di situ terdapat kawalan ketat dilakukan oleh TNI - Tentera Nasional Indonesia,” kata Faiz, 27, yang mula bertugas dengan Bernama pada Februari 2016.


No comments:

Post a Comment