Friday, 12 October 2018

Adnan gembira terima kunjungan rakan-rakan dari ibu pejabat


Editor Foto Adnan Yahya amat seronok dengan kehadiran para pegawai dan kenalan Bernama dari ibu pejabat yang mengunjungi beliau di rumahnya semalam.
“Hakikatnya saya juga rindukan mereka yang sebelum ini sering berjumpa pada mesyuarat penyelarasan setiap minggu dan beberapa urusan berkaitan pejabat.
Sakit Bell's Palsy saya semakin sembuh kerana menjalani fisioterapi dua kali seminggu di Hospital Tuanku Fauziah selain urutan tradisional dan akupuntur.
Saya mendapat panggilan daripada Biro Perlis bahawa para pegawai kanan  Ibu Pejabat BERNAMA akan menziarahi saya.
Hati berdebar apabila seorang demi seorang bertanya adakah saya mengenali mereka dalam keadaan penglihatan saya yang samar.
Saya menyebutnya dengan mudah dan tepat walaupun mata saya kabur.
Mereka meminta saya berfikir soal kesihatan pada masa ini dan melupakan seketika masalah pejabat.
Pandangan yang sama juga disuarakan oleh saudara mara, rakan dan sahabat handai ketika menziarahi saya.
Yang pasti saya terasa amat segar dengan kehadiran mereka ke kediaman saya yang terletak di bawah bayangan petang Bukit Besi Hangit.
Saya tidak sabar untuk sembuh dan kini saya juga sedang merawat mata saya.
Akhir bulan ini saya akan menjalani rawatan dan ujian tekanan mata sepanjang hari pada 31 Oktober.
Saya berharap mata saya bertambah baik dan tidak sabar untuk memandu semula ke pejabat.
Saya pasrah dengan situasi ini dan berdoa akan mendapat rahmat di sebalik kesakitan ini.
Saya juga sentiasa mendoakan supaya saya turut dikembalikan bertugas di Perlis bagi memudahkan urusan rawatan
Bagi mengisi waktu ketika bercuti sakit ini, Adnan berkata beliau melihat kehijauan bukit dari halaman rumahnya.
Sesekali saya ke Sungai Perlis untuk senaman di litar kecergasan.
Jika isteri ada kelapangan, dia akan membawa saya dengan kereta melihat sawah yang kini telah habis musim menuainya.
Semua ini dilakukan untuk terapi mata dan  minda.
Biasanya sebelah petang saya jarang keluar kerana ada yang hendak menziarahi saya di rumah.

No comments:

Post a Comment