Tuesday, 2 October 2018

Jasamu diKenang...

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh, yang bersara hari ini, berpesan kepada wartawan agensi berita itu agar menyampaikan berita dengan  cepat dan tepat bagi mendepani cabaran teknologi masa kini.
Bagaimanapun, tindakan itu perlu diiringi dengan etika kewartawanan dan mematuhi undang-undang sedia ada bagi mengelak berita berunsur fitnah.
“Kata kunci adalah cepat dan tepat kerana kehadiran internet menyebabkan orang ramai menjadi  ‘wartawan’.
“Jangan biarkan orang ramai sampaikan berita palsu dan tidak tepat,” katanya selepas menyampaikan amanat bersempena perhimpunan bulanan Bernama serta persaraannya pada usia ke-62 hari ini.
Dalam amanatnya, Datuk Zulkefli optimis ingin melihat agensi  berusia 51 tahun itu menghasilkan produk berkualiti selain terus diberi kepercayaan dalam menghasilkan berita berlandaskan undang-undang.
“Petugas Bernama jangan sekadar mengucap ikrar semata-mata tetapi perlu menunaikan apa yang telah diikrarkan,” katanya yang telah berkhidmat selama 39 tahun di Bernama.
"Dalam perkhidmatan, yang penting bukan berapa lama kita berkhidmat tetapi bagaimana kita memberi sumbangan semasa perkhidmatan kita," katanya.
Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, yang turut berucap, berkata laluan kerjaya Datuk Zulkefli di Bernama adalah cemerlang dan gemilang.
“Ramai kakitangan turut bercita-cita apa yang Datuk Zul capai,” katanya yang menganggap kemuncak pencapaian itu ialah apabila Datuk Zulkefli dilantik sebagai Pengurus Besar ke-11 pada 9 Disember 2014.
Gelaran jawatan Pengurus Besar kemudian ditukar kepada Ketua Pegawai Eksekutif  pada 26 April lepas.
Menurutnya, tempoh Datuk Zulkefli memegang jawatan itu selama tiga tahun sembilan bulan adalah lebih lama berbanding tempoh beliau yang hanya satu tahun empat bulan apabila beliau terpaksa berundur ketika mencecah 56 tahun -- umur persaraan waktu itu.
Datuk Yong Soo Heong pula menjadi Pengurus Besar selama satu tahun sembilan bulan sebelum jawatan itu diambil-alih oleh Datuk Zulkefli, kata Datuk Seri Azman.
“Walaupun melalui satu tempoh mencabar tetapi dengan kepimpinan dinamik dan keberaniannya, Datuk Zul telah dapat memperjuangkan kepentingan Bernama,” katanya.
Pada majlis itu turut diadakan penyampaian anugerah pekerja terbaik bulanan, surat kenaikan pangkat dan surat pengesahan jawatan kepada warga Bernama.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama yang baharu dijangka diumumkan minggu ini.
-- BERNAMA



No comments:

Post a Comment