Tuesday, 23 October 2018

Media cetak masih boleh 'hidup', kata Zainuddin


Bekas Menteri Penerangan yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu Tan Sri Zainuddin Maidin yakin media cetak boleh 'hidup' kerana ia masih sumber bacaan utama masyarakat walaupun menghadapi persaingan ledakan teknologi dan media dalam talian.
Katanya industri akhbar masih boleh hidup sekiranya pihak pengurusannya pandai menguruskan syarikat sesuai dengan situasi dan memenuhi keperluan pembaca termasuk berubah dari segi penyampaian berita.
Katanya beliau juga melihat ilmu dan konsep kewartawanan lama juga tidak lagi terpakai untuk zaman hari ini.
"Bagi saya, masa depan akhbar tidaklah gelap, tetapi tidak 'promising' (meyakinkan) malah tidak menjanjikan masa depan yang cerah," katanya selepas majlis penyerahan koleksi beliau kepada Universiti Islam Malaysia di Cyberjaya hari ini.
Mengulas situasi kewangan yang dihadapi Kumpulan Utusan, Zainuddin berkata syarikat itu masih gagal untuk memulihkan keadaan sekalipun telah beberapa kali bertukar alih kepimpinan.
Menurutnya, perkara itu terjadi kerana para pengarangnya tidak dapat membaca senario semasa.
"Apabila akhbar tidak mengikut sentimen rakyat itulah apa yang terjadi hari ini," katanya.
Katanya selepas Pilihan Raya Umum ke-14, beliau melihat beberapa akhbar perdana lebih bebas melaporkan berita  berbanding semasa era kepimpinan kerajaan sebelum ini.
"Tetapi hanya Utusan yang masih tidak berubah," katanya.
"Walaupun orang kata saya tidak mengenang Utusan, saya sebenarnya cukup mengenang Utusan dan apa yang terjadi hari ini tidak sepatutnya berlaku selepas lebih 70 tahun usia Utusan dan merupakan syarikat Melayu yang panjang umur dan paling berjaya," katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment