Wednesday, 31 October 2018

AKRAB Bernama sertai pameran AKRAB Kementerian Kesihatan

 AKRAB Bernama memenuhi jemputan menyertai pameran di Konvensyen Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sempena sambutan bulan kaunseling di Putrajaya hari ini.
Konvensyen itu dirasmikan ketua setiausaha kementerian berkenaan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min.
Ia merupakan usaha proaktif Unit Psikologi Kaunseling, Bahagian Khidmat Pengurusan, KKM untuk memupuk kesedaran dalam kalangan pegawai mengenai keperluan dan kepentingan kesejahteraan psikologi dalam usaha membentuk warga kementerian yang sejahtera.
Pelbagai aktiviti seperti pentauliahan AKRAB, ceramah, pameran dan klinik kaunseling diadakan sempena konvensyen itu.
AKRAB Bernama diwakili setiausahanya Hasnita Ibrahim.










Beraksi di Stadium Nasional...

Suatu hari nanti, wartawan Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad akan bercerita kepada anak cucunya pengalaman beliau beraksi dalam permainan bolasepak di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Jadi kenanganlah dapat main di stadium tu sebab bukan senang nak dapat peluang macam ni,” katanya.
Syabil dan seorang lagi wartawan Bernama Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif beraksi untuk Team Media FC dalam perlawanan bola sepak persahabatan menentang  Litar Antarabangsa Sepang (SIC) One Star di stadium itu malam tadi.
Perlawanan itu yang dimenangi SIC 5-3 menarik perhatian kerana turut disertai para pelumba MotoGP seperti Johann Zarco, Maverick Vinales, pelumba MotoGP pertama negara, Hafizh Syahrin Abdullah, pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi, bekas bintang pertahanan Liverpool, Sami Hyypia dan Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali.
Syabil berkata beliau berasa bertuah kerana dapat bermain kira-kira 30 minit dalam posisi midfielder.
 “Mula-mula masa jalan masuk padang tu saya senyum saja.. rasa seronok sangat sebab sebelum ini hanya buat liputan kat tepi padang..tapi semalam saya pula yang beraksi dalam padang,” kata Syabil, 27, yang berasal dari Bayan Baru, Pulau Pinang.
 “Yang best dapat bermain sepadang dengan pelumba-pelumba MotoGP seperti Maverick Vinales, Johann Zarco, Hafizh Syahrin dan bekas pemain Liverpool, Sami Hyypia.
“Mereka bukan saja mempunyai bakat menunggang motosikal tapi bermain bola sepak juga tidak kurang hebatnya...semua rider tu sangat baik bermain bola sepak,” katanya.
“Mereka sangat ramah..murah dengan senyuman, tak sombong dan pandai melayan peminat yang datang untuk bergambar,” kata Syabil yang menyertai Bernama hampir tiga tahun setengah.
Nazrin pula menganggap peluang beraksi di Stadium Nasional “ibarat mimpi jadi kenyataan”.
“Rasa bangga sangat sebab akhirnya dapat jejakkan kaki kat atas padang keramat kebanggaan rakyat Malaysia,” kata Nazrin yang bermain di posisi tengah selama 70 minit.
“Bola sepak adalah passion saya sejak kecil,” kata Nazrin yang kerap bermain untuk pasukan Bernama bersama Syabil.
Katanya, beliau seronok dapat bermain bersama-sama para pelumba MotoGP itu yang sangat peramah dan sporting.
“Sekaligus buat kami rasa seperti sebuah keluarga,” kata Nazrin, 26, yang menyertai Bernama pada November 2016.
“Sebelum ini tak pernah terfikir akan dapat peluang beraksi di situ. Sepanjang saya membuat laporan di situ, saya selalu berfikir bila agaknya saya dapat jejakkan kaki di padang stadium itu,” katanya.
Menurut Syabil, pasukan Team Media FC ditubuhkan dua tahun lepas.
“Kami sebenarnya lebih mementingkan keakraban sebagai media sukan Malaysia dan penubuhan TMFC tu juga sebagai satu cara kami untuk meluangkan masa bersama melalui sukan.
“Dari segi pemilihan pemain, sesiapa saja dari media sukan di negara ini boleh sertai tetapi mereka terlebih dahulu perlu datang menyertai latihan kami sebelum dibawa untuk menyertai sebarang perlawanan persahabatan,” katanya.

Tuesday, 30 October 2018

Pengalaman berharga bagi Datin Rohana...


Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi, Datin Rohana Mustaffa memperolehi pengalaman berharga apabila berucap pada Forum Kerjasama Media Antarabangsa di Boao, wilayah Hainan di China semalam.
“Saya tak jangka untuk berucap dalam kalangan jemputan pada majlis pembukaan.
“Saya ingatkan masa penganjur People’s Daily e-mel minta saya prepare remarks  atas dua topik, adalah sebagai syarat penyertaan,” katanya.
Forum Kerjasama Media 10+3 itu dihadiri lebih 100 wakil media dari sepuluh anggota Asean serta tiga rakan dialog utamanya  -- China, Jepun dan Korea Selatan bagi membincangkan kerjasama Asia Timur.
Tema forum berkenaan ialah ‘Working Together for Win-Win Cooperation in East Asia’.
Rohana berkata menjelang forum itu, beliau sibuk dengan Hari Terbuka Akrab dan sebelum itu Seminar Terjemahan di Pulau Pinang.
“Jadi tiada masa bincang dengan sesiapa.
“Bila terima program, saya tengok saya one of the speakers untuk 5 hingga 7 minit.
“Saya siapkan apa yang patut,  berbincang dengan suami (Datuk Zukri Valenteno) yang memang pakar berpengalaman draf ucapan.
“Dia yang banyak membantu. Thanks to him...,” kata Rohana yang berucap atas tajuk  Media Responsibility in East Asia Cooperation.
“Pengalaman berharga bagi saya kerana tidak pernah berucap dalam forum media apatah lagi forum antarabangsa,” katanya.
Semasa menghadiri forum itu, beliau mendapati rakyat negara itu amat bangga dengan bahasa mereka.
“Prosiding dan ucapan mostly in Chinese. Kita patut buat macam itu untuk persidangan antarabangsa tapi perlu ada banyak alat dengar.
“Penterjemah saya rasa kita tak ada masalah,” katanya.
Hari ini forum kerjasama media itu membincangkan inisiatif “Belt and Road” yang dipelopori China.
Program kerjasama media itu akan diteruskan ke Beijing sehingga 2 November.
Selain pengalaman berucap pada forum itu, Rohana juga berpeluang bertemu para editor dari rantau Asean serta Jepun, Korea Selatan dan China.
“Ada yang saya ketemu in between break and dinner, mesra berbincang dan berkongsi cerita dan berita negara masing-masing dan dunia.
“Petang dan hari ini lebih ramai lagi dari negara-negara lain juga berjumpa,” katanya.


Monday, 29 October 2018

Zabidi bersyukur kembali ke Kelantan...

Kelantan  bukan asing bagi Zabidi Ishar yang dilantik sebagai ketua biro negeri itu mulai 1 November ini.
Beliau pernah berkhidmat sebagai kerani di biro Kelantan dan menyambung pelajaran mengikuti program jarak jauh pada tahun 2008.
“Saya bekerja di Kelantan bermula 1992 sebagai kerani dan stringer semasa saudara Roslan Ariffin menjadi ketua biro.
“Encik Roslan yang telah banyak memberi galakan sehingga saya sambung belajar dan menjadi wartawan,” kata Zabidi yang kini menjadi Ketua Biro Kedah.
Beliau menggantikan Ketua Biro Kelantan Mohamad Bakri Darus yang dlantik sebagai Editor Foto mulai 1 November.
Berasal dari Lenggong, Perak, Zabidi dan isterinya, seorang guru yang berasal dari  Gerik, Perak membuat keputusan membeli rumah di Kubang Kerian, Kelantan.
“Alhamdulillah setelah empat tahun bertugas di luar dan berpisah jarak jauh dengan famili di Kelantan, akhirnya saya kembali semula ke Kelantan,” kata Zabidi yang akan bertolak ke Kota Baharu dari Alor Setar esok.
“Saya bersyukur kepada Allah atas pertukaran ini," katanya.
Beliau bertugas selama setahun di Muar sebelum bertukar ke Alor Setar hampir tiga tahun lepas.
“Terima kasih kepada bos-bos di Kuala Lumpur yang selama ini banyak membantu dan memahami situasi petugas.
“Saya berjanji untuk membalas kepercayaan itu dengan memberikan khidmat yang terbaik di Kelantan.
“Saya akan meneruskan usaha yang baik di Kedah untuk dibawa ke Kelantan terutama membabitkan kerjasama semua pihak demi menaikkan nama Bernama.
“Saya juga akan cuba memberikan keutamaan terhadap soal kebajikan petugas termasuk stringer kerana perkara inilah yang lebih membuatkan mereka rasa dihargai.
“Ini seterusnya mampu menggalakkan mereka untuk bekerja dengan baik secara berpasukan,” kata Zabidi, 49, yang menyertai Bernama pada tahun 1991.
Zabidi berkata dengan pengalamannya bekerja di Kelantan sebelum ini, beliau yakin dapat bertugas lebih baik di sana.
“Saya akan mendapatkan pandangan wartawan dan petugas lain terlebih dahulu bagi melihat situasi keadaan biro,” katanya mengenai langkah awal yang akan dilakukannya.
“Kemudian akan memahami kembali situasi politik Kelantan dan merapatkan hubungan dengan contact termasuk pemimpin politik dan masyarakat.
“Jika dahulu mereka kenal dan insyaAllah keadaan itu diharapkan kerjasama mereka akan terus terjalin,” katanya.
“Bezanya di Kedah ada tiga petugas termasuk ketua biro tetapi di Kota Baharu hanya dua sahaja dan doa saya ia tidak menjejaskan operasi pemberitaan dengan bantuan para stringer lain di sana,” katanya.
Ketika dinyatakan bahawa beliau merupakan inspirasi kepada para petugas kerana kejayaan dalam kerjaya dari kerani dan kini menjadi ketua biro Kelantan, Zabidi berkata:
“Ini rezeki Allah yang mencaturkan semuanya.”
“Saya pasti akan rindukan rakan-rakan petugas yang telah memberikan kerjasama terbaik selama tiga tahun di sini,” kata Zabidi yang diraikan petugas biro Kedah dengan jamuan tengah hari ini.
“Keduanya saya pasti rindukan keadaan Alor Setar yang langsung tidak pernah jem  seperti tempat lain.
“Saya juga akan rindukan Nasik Lemak Royale dan Yasmin serta laksa ikan sekoq.
“Saya juga akan terkenang keindahan sawah padi yang tidak ada di tempat lain,” kata bapa kepada dua anak itu.



Engaging journalists to promote peace...


Bernama journalist Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman learned more about peace journalism today as he proceeded with his month-long fellowship programme in South Korea.  
He attended the Korean Press Foundation (KPF) Journalism Conference 2018 beginning today that focussed on peace journalism in the Korean Peninsula.
“As North and South Korea engage to bring an end to the long-standing war between them, journalists worldwide play a big role in promoting peace journalism coverage which would be conducive to promote peace in the two Koreas,” he wrote.
Peace journalism is a form of reporting which shows the varied background and context of conflicts; listens to all sides; explores hidden agendas; and, highlights peace ideas and initiatives from anywhere at any time.
In the discussion, Yonsei University’s distinguished Professor Dr Moon Chung-in shared four propositions for journalists to engage in peace journalism.
He said the first proposition was not to demonise (portraying as wicked and threatening) North Korea, as the communist country had often been subjected to controversial reporting.
“If we demonise them (North Korea), the North Korean leader will become a demon, and demons do not negotiate,” he told the conference.
Moon, who is special adviser to South Korean President Moon Jae-in said journalists should also set their priorities right and the top priority should be on the resolution of nuclear and missile issues.
He said if the issue could be resolved, than trust was being built and other issues, including human rights, would be resolved easily.
The other proposition he mentioned was to ensure journalists be realistic and practical; avoid rigid and unilateral approach.
Moon was a special delegate to the first (2000), second (2007) and third (2018) Pyongyang Korean summit.
He said peace and war could be a function of journalism and objective reporting could foster peace whereas journalism of distortion would only trigger distrust, misperception and conflicts.
The two-hour discussion had also posed challenges to the media to prevent bias coverage.
A CNN Seoul Bureau correspondent, Paula Hancocks who was also one of the six panellists said it was quite a challenge to obtain information or to gain confirmation from the North Koreans.
Due to its restriction to cooperate, many fake news regarding the country had spread like wildfire, and this might thus, affect the people’s perception towards North Korea.
The two-day KPF Journalism Conference themed, ‘Trust, Technology and Audience’ is aimed at educating journalists in the digital era.
Nearly 150 local and international journalists registered for the conference.



Sunday, 28 October 2018

Kemenangan dramatik Perak julang Piala Malaysia

Kejayaan Perak menjulang Piala Malaysia 2018 di Stadium Shah Alam malam tadi memberikan banyak pengajaran dalam perlawanan akhir yang dianggap paling dramatik.
Ketinggalan 0-2 kepada Terengganu pada separuh masa pertama menerusi dua gol penyerang berbisanya, Kipre Tchetche tidak mematahkan semangat para pemain Perak untuk terus berusaha pada separuh masa kedua.
Perak tidak menunggu lama untuk merapatkan kedudukan menerusi rembatan Muhammad Firdaus Saiyadi pada minit ke-46.
Selepas jaringan itu, perlawanan disaksikan 78,783 penonton itu menjadi lebih tegang dengan beberapa insiden terjahan keras dan pergaduhan kecil serta dicemari dengan dua layangan kad merah, masing-masing kepada penyerang Perak Gilmar da Silva (minit ke-58) dan pemain tengah Terengganu Lee Andrew Tuck (minit ke-66).
Ketika penyokong dari Pantai Timur itu melonjak gembira meraikan kemenangan, Perak yang mendapat jolokan The Bos Gaurus berjaya mengikat jaringan 2-2 pada masa kecederaan separuh masa kedua menerusi rembatan padu Brendan Gan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Pada aksi masa tambahan itu, Terengganu sekali lagi di depan apabila Mohd Faiz menyumbat gol pada minit ke-96.
Para penyokong Terenganu bergembira dengan gol itu yang dianggap gol yang akan menghadiahkan Piala Malaysia kepada mereka.  
Namun harapan itu berkecai setelah Perak menyamakan kedudukan apabila pemain Terengganu, Igor Zonjic menjaringkan gol sendiri pada minit terakhir permainan memaksa juara ditentukan melalui sepakan penalti.
Perak cemerlang dalam penentuan sepakan penalty dengan menewaskan Terengganu 4-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada masa sebenar perlawanan akhir itu.
Perlawanan akhir itu ibarat ulangan aksi final Piala Malaysia selepas 17 tahun antara Terangganu dan Perak.
Perak muncul juara Piala Malaysia 1998 selepas mencatat kemenangan menerusi sepakan penalti 5-3 setelah kedua-dua pasukan seri 1-1 sehingga masa sebenar perlawanan sebenar.

Saturday, 27 October 2018

Bakri sedia galas tanggungjawab baharu


Setelah hampir tujuh tahun bertugas sebagai ketua biro Kelantan, Mohamad Bakri Darus bersedia kembali ke ibu pejabat untuk menggalas tanggungjawab baharu.
Beliau dilantik sebagai Editor Foto mulai 1 November ini, menggantikan Adnan Jahaya yang kembali bertugas di Perlis atas faktor kesihatan.
Bakri berkata beliau ‘suka’ dengan cabaran baharu dan berharap dapat menjalankannya dengan baik.
“Saya bersedia untuk berhadapan dengan tugasan dan cabaran baharu yang dipertanggungjawabkan kepada saya,” kata Bakri yang berkhidmat di Kelantan sejak 1 Januari 2012.
Katanya, antara perkara awal yang akan dilakukannya ialah mengenali secara lebih dekat hala tuju Meja Foto dan kemampuan kerja berpasukan.
Berasal dari Kampung Belukar, Changlun, Kedah, banyak peristiwa menarik yang dialaminya semasa bertugas di Kelantan.
“Saya pernah bertugas di Kelantan (Fasa 1) dari 1997 hingga 2004 sebagai pemberita sebelum berpindah ke Melaka sebagai ketua biro.
“Saya istilahkan Fasa 1 tempoh saya mengenali dan belajar kerjaya kewartawanan. Apabila saya kembali semula ke Kelantan (Fasa 2) pada 2012 sebagai ketua biro, saya istilahkan tempoh mencabar dan menarik kerana dapat melaksanakan tugas dengan sempurna.
Sempat mengendalikan  dua pilihan raya umum iaitu Pilihan Raya Umum 13 dan 14 selain Pilihan Raya Kecil Pengkalan Kubor,” kata Bakri, 49.
Katanya, antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah Bah Kuning 2014, banjir yang begitu dahsyat dan menjadi mimpi ngeri penduduk Kelantan apabila musim tengkujuh.
“Bah itu seumpama tsunami darat,” katanya.
“Satu lagi peristiwa yang menjadi ingatan ialah kembalinya ke rahmatullah Allahyarham Mursyidul Am Pas dan juga Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 2015.
“Lautan manusia hadir menziarahi jenazahnya,” kata Bakri yang menyertai Bernama pada tahun 1996.
“Tuan Haji Khaidzir Yunus adalah “Mahaguru Pertama” saya dalam mengenali dunia kewartawanan,” katanya.
Antara perkara yang akan dirindui Bakri apabila bertukar ke Kuala Lumpur ialah kemesraan orang Kelantan.
“Selain itu lagu dikir barat asli dan moden dalam sagmen AKOK KelantanFM, gulai serati Cabang Tiga Jalan Sri Cemerlang dan Restoran Faridah “kantin Bernama Kelantan”,” katanya.


Friday, 26 October 2018

AKRAB Bernama bakal jadi pemimpin program KKMM

​​Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM)  bercadang  menjadikan A​KRAB  atau Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam Bernama​​  sebagai 'tool lead' dalam pelaksanaan program berkonsepkan membantu rakan sekerja.
Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) KKMM, Datuk Samsuni Mohd Nor berkata, program berasaskan kaunseling dan perkongsian itu adalah salah satu inisiatif dalam mengembangkan fungsi dan peranan AKRAB yang dirancang kementerian itu pada tahun hadapan.
"Dalam banyak-banyak agensi di bawah kementerian ini, Bernama adalah yang paling aktif dari segi pelaksanaan. Peruntukan yang diberi tahun lalu iaitu RM50,000... kita dapati hasil atau impak yang terhasil adalah lebih daripada jumlah tersebut dengan adanya kesungguhan daripada anggota AKRAB Bernama.
“Jadi, tahun hadapan kita akan mengembangkannya dengan menggunakan Bernama sebagai 'tool lead' program-program yang akan dilakukan dengan turut dianggotai anggota AKRAB dari agensi lain di bawah kementerian," katanya ketika hadir pada Program Hari Terbuka AKRAB Bernama di Wisma Bernama hari ini.
Timbalan Keua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi, Datin Rohana Mustaffa yang mewakili AKRAB Bernama berkata Program Hari Terbuka AKRAB Bernama dicadangkan dijadikan acara tahunan memandangkan ia dilaksanakan setiap dua tahun sekali.
"Kita juga dalam proses 'meremajakan' AKRAB Bernama ini dengan memilih 12 orang sebagai pelapis dalam usaha membantu rakan sekerja di sini menjalani kehidupan dan tugasan dengan lebih baik dan berfikiran positif.
Program yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu dihadiri lebih 100 kakitangan Bernama dengan pengisian pelbagai aktiviti seperti pameran Akrab dan Psikologi, aktviti fizikal,terapi muzik serta sesi Personality via Graphology oleh Dr Azura Hanim Hashim.
Pada program bertemakan  “Synergy : Mind, Soul and Body” itu juga, AKRAB Bernama menyampaikan Anugerah Khas kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh yang juga bekas Pengerusi AKRAB Bernama bagi menghargai jasa dan sumbangannya kepada Akrab.
-- BERNAMA


Thursday, 25 October 2018

Hari Terbuka AKRAB Bernama


AKRAB Bernama mengadakan program Hari Terbuka bertemakan ‘Synergy: Mind, Soul and Body’ di Tingkat 10, Wisma Bernama selama dua hari bermula pagi ini.
Pelbagai acara diadakan seperti senaman, ceramah oleh Imam Muda Hassan Adli, cabutan bertuah, terapi muzik dan terapi seni.
Pameran mengenai AKRAB dan jualan gerai juga diadakan. 
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab turut memeriahkan acara.








Wednesday, 24 October 2018

Gobind bincang hala tuju Bernama...

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Bernama untuk mengetahui hala tuju Bernama.
"Kita semua sedar dunia berita sudah berubah di mana apa yang kita ada sekarang usaha untuk pendigitilan," katanya.
Gobind berkata maklumat yang diperolehinya itu akan membolehkan beliau melihat setakat mana yang boleh dilakukannya untuk membawa perubahan berkenaan kepada Bernama.
"Perbincangan ini bertujuan mendapatkan idea bagaimana kita boleh melaksanakan usaha ini (transformasi ke arah digital)," katanya selepas perbincangan itu di Wisma Bernama hari ini.  
Beliau juga diminta mengulas rungutan beberapa wartawan berhubung layanan  segelintir pegawai media yang kurang memuaskan.
Gobind berkata pegawai media di semua kementerian perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada pengamal media dalam usaha menyalurkan maklumat berkaitan kerajaan kepada rakyat.
Katanya kerjasama itu penting bagi memastikan fakta yang dilaporkan mengenai setiap kementerian adalah tepat dan benar.
“Saya merayu kepada semua untuk beri kerjasama penuh kepada wartawan kerana mereka mempunyai tugas yang berat.
“Kerja mereka bukan senang kerana bila ada isu mereka ditugaskan untuk mendapatkan ulasan daripada kementerian.
“Jadi apabila mereka melaksanakan tugas sedemikian, saya minta kerjasama penuh diberikan.
“Apa yang kita mahu fakta penuh dan laporan yang tepat serta disahkan dapat diberikan kepada masyarakat dan membawa manfaat kepada semua.
“Jadi saya harap wartawan akan diberi sokongan penuh oleh menteri-menteri dan kementerian mereka,” katanya 
Sebelum ini, media melaporkan kekecewaan beberapa wartawan terhadap seorang setiausaha akhbar di sebuah kementerian yang dirasakan biadab ketika berdepan dengan media di satu acara di Putrajaya baru-baru ini.
Ketika ditanya sama ada pegawai media perlu diberikan kursus berkaitan, beliau berkata tiada keperluan itu memandangkan setiap kementerian sudah mempunyai unit khas yang bertanggungjawab memastikan ulasan dan berita di setiap kementerian diselaraskan.
“Bagi saya tak perlu ada kursus tertentu tetapi saya percaya mereka sudah ada pengalaman berurusan dengan media namun saya minta mereka ‘bantu wartawan sedaya upaya,” katanya.
“Ada kalanya di mana kita tak ada jawapan kerana kita tidak mengetahui dengan mendalam, dalam keadaan itu mungkin kita boleh kembali kemudian (kepada wartawan) selepas mengesahkannya tanpa perlu bersikap tidak sopan,” katanya.
-- BERNAMA

Tuesday, 23 October 2018

Media cetak masih boleh 'hidup', kata Zainuddin


Bekas Menteri Penerangan yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu Tan Sri Zainuddin Maidin yakin media cetak boleh 'hidup' kerana ia masih sumber bacaan utama masyarakat walaupun menghadapi persaingan ledakan teknologi dan media dalam talian.
Katanya industri akhbar masih boleh hidup sekiranya pihak pengurusannya pandai menguruskan syarikat sesuai dengan situasi dan memenuhi keperluan pembaca termasuk berubah dari segi penyampaian berita.
Katanya beliau juga melihat ilmu dan konsep kewartawanan lama juga tidak lagi terpakai untuk zaman hari ini.
"Bagi saya, masa depan akhbar tidaklah gelap, tetapi tidak 'promising' (meyakinkan) malah tidak menjanjikan masa depan yang cerah," katanya selepas majlis penyerahan koleksi beliau kepada Universiti Islam Malaysia di Cyberjaya hari ini.
Mengulas situasi kewangan yang dihadapi Kumpulan Utusan, Zainuddin berkata syarikat itu masih gagal untuk memulihkan keadaan sekalipun telah beberapa kali bertukar alih kepimpinan.
Menurutnya, perkara itu terjadi kerana para pengarangnya tidak dapat membaca senario semasa.
"Apabila akhbar tidak mengikut sentimen rakyat itulah apa yang terjadi hari ini," katanya.
Katanya selepas Pilihan Raya Umum ke-14, beliau melihat beberapa akhbar perdana lebih bebas melaporkan berita  berbanding semasa era kepimpinan kerajaan sebelum ini.
"Tetapi hanya Utusan yang masih tidak berubah," katanya.
"Walaupun orang kata saya tidak mengenang Utusan, saya sebenarnya cukup mengenang Utusan dan apa yang terjadi hari ini tidak sepatutnya berlaku selepas lebih 70 tahun usia Utusan dan merupakan syarikat Melayu yang panjang umur dan paling berjaya," katanya.
-- BERNAMA

Monday, 22 October 2018

Tengku Noor Shamsiah back to work...


Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah is back to work after recovering from a brain bleed that forced her to be treated at the University of Malaya Medical Centre (UMMC) or “University Hospital”.
“Subhanallah... thank Allah for the miracle to recover speedily,” she said this afternoon as she arrived at Wisma Bernama to start work.
“Thank you God for all the blessings and now I start work as an assignment editor at Bernama News Channel on a contract basis.
“It was really awesome to get back to work,”she said.
She had retired on August 10 upon reaching 60,  devoting almost 17 years of her life to Bernama.
“I really thank Bernama for giving me the opportunity to make a comeback which will of course makes me become more healthy in days to come.
“It is a real good thing to come back to work as I can still contribute towards nation building,” she said.
Tengku Noor said although she was still fragile, her tough will to be back on her feet again was very strong.
“I forced myself to have a positive mind,” she said.
“Continuous seeking God’s blessings and praying to the Almighty give me the strength to be back on my feet again.
“Like I have said before unwavering faith to God is one of the reasons I am back on my feet again.
“Continuous support from friends and family members also played pivotal role in giving me high spirit and want to be like normal as before.
“I really pray and seek God to give me all his blessings and let me live the life I used to live and interact,” she said.
Tengku Noor Shamsiah, who once served as Bernama correspondent in Singapore,   said she was happy that a former colleague from Bernama  Singapore, Vanitha came down to visit her on Saturday.
“Never lose hope if we are sick.. keep on praying and you will definitely be blessed... “You are what you think you are, so always think positive,” she said.

Sunday, 21 October 2018

Lima pahlawan bersaudara ceriakan kenduri kahwin


Pengurus Pemasaran Foto Mohd Farhan Mustafa Kamal tersenyum mengingatkan tanjak yang dipakainya semasa kenduri meraikan perkahwinan anak Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Mokhtar Hussain semalam.
“Rasa macam Jebat,” katanya mengenai detik ‘glamour’ ketika bertanjak pada majlis itu.
Farhan berkata beliau dan empat lagi anggota exco Kelab Kakitangan Bernama (KKB) memakai tanjak untuk menggambarkan lima pahlawan Melaka bersaudara.
“Saya Jebat, Asri (Junin) Tuah, (Muhammad Abdul) Hadi (Jurimi) Lekir, (Mohd) Fikri (Ahmad) Lekiu dan Amir (Muhamad Shafie) Kasturi,” katanya.
Datuk Mokhtar, yang juga Presiden KKB, mengambil watak Sultan Melaka.
“Mereka yang hadir tidak sangka kami exco KKB,” kata Farhan.
“Ada yang cakap pertama kali tengok kami semua pakai begitu lengkap bagaikan laksamana,” kata Farhan yang terhibur dengan komen seperti itu.
“Kami hadir untuk support Presiden kami,” kata Farhan, yang juga Timbalan Presiden KKB.
Datuk Mokhtar dan isteri Datin Zalmy Zain meraikan perkahwinan anak tungal mereka Mokhriz dengan pilihan hatinya Hana Asyorah Md Shah di Dewan Perdana KRS, Taman Warisan Puteri, Seremban.



Hati saya tetap bersama warga Wisma Bernama, kata Adnan


Editor Foto Saudara Adnan Jahaya amat bersyukur dengan keprihatinan pengurusan Bernama yang menukarkan beliau kembali untuk bertugas di negeri kelahirannya Perlis.
“Saya tidak menduga kesakitan yang saya alami menghulurkan anugerah yang amat berharga,” kata Adnan yang sedang menjalani rawatan penyakit Bell’s Palsy yang dialami sejak 1 September lepas.
“Saya telah melapor diri kepada Ketua Biro Perlis Saudara Zainal Abdul Jalil pada pagi hari Jumaat dan berbincang mengenai tugasan,” katanya.
“Secara dasarnya saya akan menulis berkaitan isu terpilih dan bukan liputan harian. “Ini kerana keadaan saya belum boleh bergerak secara lasak,” kata Adnan yang  menerima rawatan fisioterapi dua kali seminggu di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar..
Selepas bertemu Zainal, beliau ditemani isteri datang ke ibu negara untuk mengambil barangan peribadi di pejabatnya di Wisma Bernama.
“Ketika sampai ke Wisma Bernama banyak petugas yang bertanya khabar dan saya memaklum tahap kesihatan semakin baik.
“Saya boleh bertutur dengan sempurna cuma penglihatan masih lagi terganggu,” katanya.
Antara sahabat yang ditemuinya ialah penyunting Haji Shamsudin Puteh yang sungguh gembira dan bersyukur kerana Adnan lekas sembuh.
“Pertuturannya pun dah jelas,” kata Haji Shamsudin.
Menurut Adnan, beliau akan pulang ke Kangar hari ini dan mula bekerja di Biro Perlis esok.
“Bagi saya bertugas di Perlis memberi kemudahan kepada saya untuk membuat rawatan di hospital berhampiran rumah.
“Terima kasih Bernama yang menghadiahkan pertukaran ini.
“Pastinya  hati saya tetap bersama warga Wisma Bernama meskipun saya berada di sebuah negeri yang dipagari tembok dan pagar sempadan antarabangsa di bahagian utaranya,” kata Adnan.

Saturday, 20 October 2018

Datuk Mokhtar rai perkahwinan anak lelaki


 Kisah-kisah lama Bernama menceriakan suasana apabila ramai “alumni” Bernama hadir pada majlis meraikan perkahwinan anak tunggal Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Mokhtar Hussain dan isteri Datin Zalmy Zain  di Seremban hari ini.
Ada di antara mereka yang tidak bersua selama bertahun-tahun sejak meninggalkan Bernama.
Majlis meraikan cinta Mokhriz dan pilihan hatinya Hana Asyorah Md Shah diadakan di Dewan Perdana KRS, Taman Warisan Puteri, Seremban.
Ia turut dimeriahkan dengan kehadiran sanak saudara, sahabat handai serta warga Bernama.  
Datuk Mokhtar bersyukur majlis kenduri itu berjalan lancar.
Beliau mengungkapkan pantun berikut sebagai tanda terima kasih kepada para jemputan:

Nasi putih nasi lemak
Sajian makanan di waktu pagi
Terima kasih banyak-banyak
Sudi bertandang ke majlis kami

Kalau tidak kerana bulan
Tidak bintang terbit pagi
Kalau tidak kerana Tuan
Tidak majlis sepermai ini





Friday, 19 October 2018

Dron tarik perhatian mangsa gempa bumi...


Tinjauan wartawan Bernama Muhammad Faiz Baharin bersama jurufotografi Hafzi Mohamed  menggunakan dron membolehkan mereka melihat kemusnahan akibat gempa bumi dan tsunami di Sulawesi dengan lebih jelas.
Ia dapat menunjukkan, umpamanya, hampir keseluruhan perkampungan Sibalaya termasuk sawah padi dan ladang tanaman musnah dengan anggaran keluasan seperti dua puluh padang bola sepak.
“Rakaman dari dron dilakukan oleh Hafzi yang memang mempunyai kemahiran menerbangkan dron,” kata Faiz.
“Setiap kali dia mahu menerbangkan drone, pasti ramai anak-anak mangsa gempa dan tsunami yang teruja melihatnya,” katanya.
Mereka berdua menyertai misi bantuan kemanusiaan kali kedua Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bagi mangsa gempa bumi dan tsunami itu yang tiba di Palu pada pagi Isnin.
Faiz berkata mereka dijadualkan pulang esok dengan membawa pelbagai kenangan.
“Pengalaman paling tidak boleh lupa semestinya perang bersama emosi, sedih dan kasihan melihat mangsa,” katanya.
Semua itu harus dihadapi kerana “tugas melaporkan berita dan menemubual mangsa tetap perlu dilakukan”, katanya.
“Melihat sendiri kemusnahan kota Palu dan kesengsaraan mangsa, insaf kita dibuatnya,” kata Faiz yang telah membuat beberapa laporan secara langsung menerusi Facebook.
Faiz berkata ketika membuat laporan di Sigi, kira-kira 15km dari Palu, beliau pertama kali merasai gempa bumi dengan kekuatan kira-kira 3.4 skala.
“Alhamdulillah ketika tiba di Palu pada pagi Isnin 15 Oktober, bekalan elektrik sudah kembali pulih di beberapa kawasan dan kami menumpang di sebuah bangunan milik Sekolah Menengah Agama Al Quran Karisma di Palu yang dikosongkan selepas tragedi gempa.
“Bekalan elektrik ada cuma kadang-kadang terputus, jadi saya dan Hafzi masing-masing sudah bersedia dengan 3 power bank sebagai back up.
“Sepanjang menumpang di bangunan sekolah agama itu pun, kami tidak tidur di dalam bangunan kerana risau akan keselamatan diri sekiranya berlaku gempa susulan yang mampu meranapkan sekolah itu.
“Kami hanya tidur di laman bangunan beralaskan kotak-kotak dan sleeping bag yang dibawa sendiri.
“Di dalam bangunan hanya digunakan untuk menyimpan barang berharga seperti kamera dan laptop,” kata Faiz.
Faiz melihat banyak kesan bencana itu seperti Jambatan Palu IV atau jambatan kuning yang merupakan ikon kota Palu tetapi runtuh dibadai gempa dan tsunami.
“Sebenarnya kami rasa berat hati juga nak balik, belum puas buat liputan,” katanya.
“Kami tidak berkesempatan pergi ke dua lagi lokasi gempa iaitu di Balaroa dan Donggala kerana di situ terdapat kawalan ketat dilakukan oleh TNI - Tentera Nasional Indonesia,” kata Faiz, 27, yang mula bertugas dengan Bernama pada Februari 2016.