Tuesday, 1 August 2017

Sikap terpuji...

Sifat amanah dan bertanggungjawab Penyelia Pengawal Keselamatan Bernama, Basir Hassan menyentuh hati warga Bernama termasuk Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh.
Walaupun pergerakannya lebih mencabar setelah diserang strok empat bulan lepas, Basir menggagahi diri untuk datang ke Wisma Bernama semalam bagi mengucapkan salam perpisahan.
Beliau`yang sedang bercuti sakit akan pulang ke kampung di Kedah setelah kontrak perkhidmatannya tamat pertengahan Ogos.
Selain mengambil barang-barangnya yang masih tersimpan di pejabat, beliau datang untuk memulangkan kad pekerja serta buku rawatan Bernama.
“Ïni adalah sikap yang terpuji…walaupun dalam keadaan pergerakannya yang sukar,” kata Datuk Zulkefli selepas mempengerusikan mesyuarat AKRAB di Wisma Bernama pagi ini.
“(Berbanding) satu lagi kategori yang berhenti daripada Bernama tanpa menjelaskan ‘dues’ atau menyelesaikan komitmen mereka kepada Bernama,” kata beliau yang bertemu dengan Basir semalam selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kewangan dan Akaun (JPKA) Bernama.
Mesyuarat itu antara lain terpaksa menghapuskira sekitar RM30,000 pinjaman kenderaan dan komputer kerana mereka yang memperolehi kemudahan itu tidak menjelaskan bayaran apabila berhenti daripada Bernama.
Walaupun usaha dibuat untuk mendapatkan balik pinjaman termasuk menghantar surat saman ke alamat tempat tinggal mereka, namun surat tidak dapat diserahkan kerana mereka telah berpindah.
Penyunting Shamsudin Puteh berkata beliau terharu membaca kisah Basir yang penuh dengan disiplin.
“Saya nampak aspek dia sanggup bersusah payah untuk menyerahkan kembali apa yang bukan haknya kepada Bernama apabila berakhirnya perkhidmatan dengan Bernama,” katanya.
Editor Foto Adnan Jahaya berkata Basir memiliki sikap terpuji dan disiplin yang tinggi.
Menurutnya, mereka yang dibekalkan peralatan oleh Bernama bagi menjalankan tugas seharusnya memulangkannya apabila meninggalkan Bernama.
“…sepatutnya mereka pulangkan sebab ia tetap merupakan harta Bernama walaupun ia dah rosak,”'katanya.
Basir berkhidmat selama 24 tahun sebagai anggota tentera sebelum memohon menyertai Bernama pada Julai 2013.
Pegawai Tadbir Shahrul Azim Rambli berkata Basir seorang yang prihatin dalam melaksanakan kerja.
“Setiap kerja dan tugas yang saya beri dia akan laksanakan dengan baik.
“Sikap dia yang tegas dan berdisiplin tu yang buat anak-anak buah dia respect dia...cuma disebabkan kesihatan dia, dia tidak dapat lagi meneruskan tugas dan tanggungjawab dia.
“Kalau nak ikutkan, dia boleh je serahkan kad atau pun ambil barang-barang tanpa dia perlu hadir tapi semangat dia itulah kita perlu kagumi,” katanya.




No comments:

Post a Comment