Saturday, 12 August 2017

Pengalaman menunggang kuda....

 Daripada Abdul Rahman Ahmad 

Bagi yang tidak pernah menunggang kuda namun 'terpaksa' menyertai aktiviti berkenaan, ternyata pengalaman baharu itu pasti menakutkan.
Itu yang berlaku ke atas diri jurukamera Bernama News Channel, Ahmad Shahuri Mat Jaan apabila dimaklumkan beberapa kali bahawa dia perlu menunggang haiwan itu yang merupakan antara aktiviti Kembara Inspirasi Haji (KIH) semasa berada di negara Uzbekistan.
Sambil meletakkan tangan di perut, Ahmad Shahuri atau lebih mesra dipanggil Awie, memberi alasan sakit perut untuk mengelakkan diri daripada menunggang kuda berwarna coklat yang sedia menanti beliau.
"Tidak apalah, saya sakit perut, nak cari tandas," katanya apabila Pengarah Projek KIH, Khir Ariffin memujuk Awie supaya menunggang kuda itu.
Sebelum itu, Awie yang sedang sibuk membuat rakaman visual menunggang kuda oleh semua peserta kembara itu kelihatan pucat seketika dan cuba mencari pelbagai alasan agar dapat mengelak diri daripada terlibat dengan aktiviti itu.
Bagaimanapun, setelah dipujuk dan melihat peserta lain sudahpun menjalani sesi menunggang kuda itu tanpa sebarang masalah, Awie akhirnya memberanikan diri mengangkat kaki kirinya dan meletakkan di pelana kuda sebelum menghayunkan kaki kanannya ke bahagian kanan kuda itu.
Bukan Awie seorang sahaja tetapi beberapa peserta KIH lain turut kelihatan gusar untuk menunggang haiwan itu disebabkan saiznya yang begitu besar dan adakalanya kuda itu boleh bertindak liar.
"Memanglah dari mula bila nampak sahaja kuda itu saya rasa takut sebab dia besar dan lebih-lebih lagi apabila ia bertindak liar dan tidak boleh duduk diam. Saya yang badan kecil ini tentulah rasa takut, " kata Zuraini Abdul Malek, satu-satunya peserta wanita kembara itu.
Bagaimanapun, perasaan takut itu beransur reda apabila melihat peserta kembara lain dan juga suaminya, Jasmi Jantan, menunggang haiwan itu dengan penuh keyakinan.
Berbeza pula dengan Mohd Izam Mohd Nor, walaupun bertubuh kecil dan baru pertama kali menunggang kuda, peserta kembara itu memberanikan diri menunggang haiwan itu buat kali kedua, kali ini jarak perjalanan agak jauh sedikit dan tiada pembantu mengiringinya.
KIH telah melakukan perjalanan sejauh 10,700km merentasi Thailand, Laos, China, Kyrgyzstan dan kini di Uzbekistan sebelum meneruskan baki perjalanan kira-kira 6,000km ke Turkmenistan, Iran dan Dubai.
Dari Dubai mereka akan menaiki kapal terbang untuk ke Jeddah seterusnnya ke Makkah untuk menunaikan haji.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment