Saturday, 19 August 2017

Menaiki feri menyeberangi Selat Hormuz...

Para peserta Kembara Inspirasi Haji akan meninggalkan Iran dengan menaiki feri dari Bandar Abbas ke Sharjah di Emiriah Arab Bersatu. 
Perjalanan menyeberangi Selat Hormuz itu dijangka mengambil masa 12 jam, kata Ketua Editor Tugasan Bernama News Channel Abdul Rahman Ahmad. 
Feri dijadualkan bertolak pukul 10 malam waktu tempatan (Malaysia 2 pagi esok).
 “Kami dah menunggu di pelabuhan ni sejak 1 tengah hari waktu tempatan,” katanya  dalam WhatsApp pukul 9 malam ini waktu Malaysia.
“Semalam kami diberitahu feri bertolak tengah hari tapi pagi ni, pemandu pelancong kami kata malam pula sebab jadual feri berubah-ubah,” katanya.
Tambang bagi seorang penumpang ialah AS$48 manakala kereta ialah AS$820.
Para peserta itu telah mencatatkan perjalanan sejauh 14,700 km sejak memulakan kembara pada 18 Julai lepas.
“Ia merupakan pengalaman yang menarik dan tak sangka bertemu ramai orang yang tidak dikenali tetapi mesra kepada kami terutama di Iran.
“Perjalanan selama 17 hari di China sememangnya membuka mata dengan banyak masjid dan penduduk Islam yang kami temui sepanjang hampir 7,000 km laluan di negara itu.
Rahman berkata perjalanan jauh itu tidaklah memenatkan tetapi waktu menunggu yang lama di pusat pemeriksaan sempadan membuatkan mereka penat.
Menurut catatan Facebook Kembara Inspirasi Haji, mereka tiba di Bandar Abbas jam 4 pagi setelah perjalanan hampir 700 km dari bandar lama Yadz.
“Alhamdulillah akhirnya kami sampai juga pada jam 4 pagi tadi  di Bandar Abbas.
“Pagi ini baru perasan bahawa hotel kami betul-betul depan laut.
“Panas berbahang,” kata mereka.
Mereka sebelum itu diuji apabila sebuah daripada kenderaan pacuan empat roda mereka “over heating”.  
“Cuaca siang hari yang panas dan berbahang mendidik jiwa menjadi sabar.
“Setelah tiga jam mencari sparepart di bandar berhampiran namun gagal.
Apa lagi....redho dan tarik...,” kata mereka mengenai masalah itu yang dikatakan berlaku ketika perjalanan masih lagi berbaki 600km untuk sampai ke Bandar Abbas.
Dari Sharjah, mereka akan menuju Dubai, jarak sejauh kira-kira 34.5km.
Mereka akan menaiki kapalterbang dari Dubai ke Jeddah untuk mengakhiri perjalanan ke Tanah Suci.

No comments:

Post a Comment