Thursday, 3 August 2017

Menjadi Raja Sehari...

Penolong Pengurus Pusat Kecemerlangan Bernama, Ridzuan Mohd Ghazali selamat diijabkabulkan dengan Amiratul Nadiah Hasan oleh bapa pengantin perempuan, Hasan Dindiar di SECC Senawang pada jam 11 pagi 29 Julai lepas. Inilah pengalaman Ridzuan menjadi Raja Sehari:

"Pada awalnya, saya tidaklah begitu gementar.
Namun apabila jurunikah ingin menyemak bacaan al-Fatihah dan surah lazim saya serta menyoal  berkaitan rukun nikah, degupan jantung saya semakin kencang. 
Walaupun saya nampak tenang dan yakin semasa sesi percubaan, debaran begitu dirasai semasa hendak melafazkan akad yang sebenar. 
Syukur, kami telah menjadi pasangan suami isteri yang sah dengan sekali lafaz sahaja.
Majlis walimatul urus turut diadakan pada tarikh dan lokasi yang sama.
Oleh kerana jarak masa yang singkat antara acara nikah dan bersanding, saya agak mengejar masa untuk bersiap dan menjadikan diri agak letih.
Namun segala keletihan itu hilang di ruang udara detik saya melangkah masuk ke dalam dewan bersama-sama pasangan dan rombongan ahli keluarga.
Saya amat gembira tatkala melihat para tetamu sudi datang meraikan hari yang amat bersejarah bagi saya.
Di media sosial, ramai ahli keluarga, rakan-rakan serta kenalan memberi ucapan tahniah serta mendoakan kebahagiaan kami.
Saya juga tidak terlepas daripada menjadi bahan usikan rakan-rakan di Bernama sekembalinya saya ke pejabat. 
Walaupun kerap diusik, saya tetap berasa bahagia kerana ia menunjukkan bahawa rakan-rakan sedang gembira meraikan kehidupan baharu saya.
Warga Bernama dijemput untuk hadir ke majlis sebelah pengantin lelaki pada 5 Ogos 2017 di Dewan Masjid Uniten."


No comments:

Post a Comment