Friday, 25 August 2017

Syukur dapat visa Haji...

Para peserta Kembara Inspirasi Haji boleh menarik nafas lega dan bersyukur untuk meneruskan perjalanan ke Tanah Suci setelah mendapat visa Haji.
Berita gembira itu dimaklumkan menerusi Facebook kumpulan itu malam ini.
Ia turut memuatkan foto Pengarah Projek, Khir Ariffin yang tersenyum gembira dengan perkembangan itu.
Beliau telah mengambil keputusan pulang ke Kuala Lumpur dari Dubai dua hari lepas sebagai usaha terakhir untuk mendapatkan visa haji.
 "Alhamdulillah. Sujud syukur.
Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia dan Asia yang mendoakan.
Terima kasih kepada menteri2 dan para pegawai yang terlibat.
Terima kasih kepada TH dan para pegawai yang terlibat.
Terima kasih kepada duta dan kedutaan Saudi yg terlibat.
Terima kasih kepada semua sukarelawan PEKA yg terlibat.
Terima kasih kepada semua media yg terlibat.
Doakan kami mendapat haji yang mabrur.
Kisah di sebalik tabir akan dikongsikan dalam travelog 13 episod nanti untuk jadi pedoman dan pengajaran.
Syukur kami mendapat visa furada. Terima kasih pak menteri yg prihatin dan baik hati," menurut catatan terkini mereka dalam Facebook.
Enam peserta Kembara yang kini berada di Dubai termasuk dua wakil Bernama -- Ketua Editor Tugasan Bernama News Channel (BNC) Abdul Rahman Ahmad dan jurukamera Ahmad Shahuri Mat Jaan yang lebih dikenali sebagai 'Awi'. 
Mereka telah melakukan perjalanan 14,700km merentasi Thailand, Laos, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran dan Emiriah Arab Bersatu menaiki dua kenderaan pacuan empat roda dari Kuala Lumpur sejak 18 Julai lepas.
Mengikut perancangan, mereka akan menaiki kapalterbang di Dubai untuk ke Jeddah dan seterusnya ke Tanah Suci.
Dua kenderaan itu telah diserahkan kepada sebuah syarikat tempatan untuk diuruskan penghantaran pulang ke Malaysia menerusi kapal. 

No comments:

Post a Comment