Wednesday, 23 August 2017

Aksi Jurufoto Bernama Jadi Bualan Di Media Sosial...

Komitmen tinggi yang ditunjukkan jurufoto Bernama, Ahmad Iskandar Kamaruzaman ketika mengejar jaguh pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan untuk mendapatkan 'shot' terbaik, menjadi perbualan hangat di media sosial.
Video aksi Ahmad Iskandar atau dipanggil 'jurufoto berbaju hijau' yang berlari sehinggakan satu ketika aksinya 'mengalahkan' pelari pecut negara itu, tular di laman sosial dan mendapat banyak respons positif daripada netizen yang menghargai kesungguhan beliau mendapatkan gambar yang terbaik.
Malah, gambar dan video itu sedikit sebanyak membayangi kejayaan Khairul Hafiz memenangi acara 100 meter di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Seorang pengguna media sosial Facebook, Syahril A. Kadir berkata inilah antara cabaran dan tanggungjawab yang perlu digalas semua jurukamera dan jurufoto dalam menghasilkan 'karya seni' mereka.
"Jurufoto sukan secara zahirnya nampak macam tak ada beza dengan jurufoto yang lain tetapi hakikatnya mereka terpaksa berhadapan dengan cabaran tersendiri yang ramai orang di luar sana tak tahu. Gua salute dengan anak Pak Jantan, tetapi pada masa sama gua juga salute dengan lu, lu memang 'jantan' habis bro" katanya.
Ariff Hashim menerusi akaun Facebook berkata dia merasa terhibur melihat gelagat jurufoto itu semasa sedang menyaksikan acara akhir 100m lelaki itu di sebuah kedai makan.
"Satu kedai makan tadi rasa terhibur dengan gelagat abang cameraman baju hijau tu..nampak bersungguh dia nak ambil gambar Hafiz..hebat!, katanya.
Bagi Daeng Khairul pula berkata dia menghargai apa yang dilakukan oleh jurufoto itu yang mengutamakan tugasannya walaupun terpaksa berlari dengan bebanan membawa beg dan kamera bersamanya.
"Aku duk tengok abang baju hijau itu kelakar cari 'posing' baik punya, sekurang-kurangnya bossnya dapat tengok pekerjanya bersungguh-sungguh ambil gambar untuk dicetak di media massa. Salute abang photographer tadi, kredit untuk dia. Harap hujung bulan ini dia dapat bonus lebihlah. Tahniah," katanya di akaun Facebooknya.
Laman Facebook Harimau Malaya, portal berita berkaitan sukan negara. turut mengucapkan tahniah kepada jurufoto ini kerana akhirnya berjaya mendapatkan shot terbaik raja pecut itu.
"Abam (abang) kameraman baju hijau the unsung hero, gelagat dia sama-sama naik dengan Hafiz Jantan. Akhirnya dapat juga shoot gambar Hafiz, katanya.
Selain komen yang menghargai kesungguhan jurufoto itu, ada juga yang mencadangkan supaya Sukan SEA kali ini menambah satu lagi pingat iaitu untuk jurufoto terpantas.
"Rata-rata netizen terhibur dengan gelagat abang cameraman ini sehingga ada yang minta agar beliau turut dianugerahkan pingat emas untuk acara jurufoto terpantas," kata Mujahid Mujibbudin yang turut mendapat sokongan ramai.
Pengguna Twitter pula, @Afiq04irfan pula menulis di akaunnya "Cameraman baju hijau ternyata lebih laju daripada Khairul Hafiz Jantan manakala @syazwansarafi menulis Gigih photographer baju hijau tu kejar, macam boleh wakil Malaysia je next sukan SEA".
Khairul Hafiz diangkat menjadi jaguh pecut yang baharu selepas mengetepikan juara edisi terdahulu Eric Cray dari Filipina dengan catatan masa 10.38 saat.
-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment