Wednesday, 9 August 2017

Bertemu warga Uzbek berbahasa Melayu...

Daripada Abdul Rahman Ahmad di Fergana, Uzbekistan

Tidak ada yang lebih mengembirakan peserta Kembara Inspirasi Haji (KIH) apabila mereka didatangi dua lelaki warga Uzbekistan yang fasih berbahasa Melayu ketika menunggu di luar pusat kawalan imigresen dan kastam Dostyk di pintu masuk ke Uzbekistan melalui Andijon dan Osh di Kyrgyzstan pada Selasa.
Ketika menunggu beberapa rakan lain dan dua kenderaan pacuan empat roda melalui pemeriksaan di situ pada pukul 3 petang waktu Uzbekistan (tiga jam di belakang Malaysia), Pengarah projek KIH, Khir Ariffin dan empat peserta lain terdengar suara seseorang memberi salam dan disambut dengan pertanyaan khabar. 
Ini membuatkan mereka terperanjat seketika mendengar bahasa Melayu ditutur oleh warga asing dan sedikit sebanyak mengubati perasaan dan hati yang terganggu sebelum itu kerana terpaksa melalui pemeriksaan imigresen dan kastam yang terlalu ketat.
Kedua-dua lelaki itu, Ilyos Suygunov, 33 dan Shahabiddin Yuldoschev, 28, adalah pemandu pelancong yang akan mengiringi mereka sepanjang lima hari berada di Uzbekistan dengan melawat bandar Tashkent dan Bukhara.
Sebaik sahaja terdengar Ilyos bertutur bahasa Melayu begitu fasih, mereka secara spontan menyambut salam dengan melontarkan senyuman sebelum meneruskan perbualan untuk hampir satu jam sehingga rakan-rakan lain selesai melalui pemeriksaan.
Menurut Ilyos, beliau boleh berbahasa Melayu kerana pernah melanjutkan pelajaran dalam bidang perniagaan di sebuah universiti awam di Malaysia pertengahan tahun 2000. 
Dia juga pernah bekerja dalam bidang tulisan khat sebelum melanjutkan pelajaran.
Begitu juga dengan Shahabiddin, yang boleh berbahasa Melayu ketika melanjutkan pelajaran dalam pengajian bahasa Melayu di Universiti Islam Antarabangsa selama dua tahun mulai 2008.
Menurut Llyos, beliau sudahpun mengenali seorang peserta kembara, Zikri Fuad Abdul Salam sepanjang menetap di Malaysia.
“Saya sudah mengenali dia (Zikir),  pernah pergi rumah dia dan saya juga rindukan nasi lemak,” katanya apabila ditanya latar belakang dia fasih berbahasa Melayu.
Bagi Khir dan peserta kembara yang lain kehadiran Ilyos dan Biddin (nama ringkas yang diberi oleh peserta kepada Shahabiddin) amat melegakan hati kerana ini memudahkan urusan mereka untuk bergerak ke mana-mana dan berkomunikasi dengan rakyat tempatan.
Dari pusat pemeriksaan sempadan itu, para peserta menuju ke Fergana, yang terletak kira-kira 130 km.
Setelah tiga jam perjalanan, mereka sampai ke bandar itu dan mendapatkan hotel untuk bermalam. 
Hari ini mereka bergerak pula ke Tashkent, ibu negara Uzbekistan. 
Peserta Kembara Insiprasi Haji sudah pun membuat perjalanan sejauh 10,000km sejak memulakan pengembaraan pada 18 Julai merentasi Thailand, Laos, China dan Kyrgyzstan setakat ini.
Ada kira-kira 6,000km perjalanan lagi yang harus ditempuhi merentasi negara ini, Turkmenistan, Iran dan Dubai sebelum ke Jeddah dengan menaiki kapal terbang untuk menunaikan haji bulan depan.
--BERNAMA

No comments:

Post a Comment