Thursday, 10 August 2017

AKRAB Bernama rai 30 asnaf DUN Rungkup...

Budaya memberi bantuan kepada golongan tidak bernasib baik perlu diamalkan sepanjang masa dan bukannya hanya menunggu bulan Ramadan sahaja.
Melihat keadaan itu, seramai 30 golongan kurang berkemampuan pelbagai bangsa dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup di Bagan Datuk dipilih menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan harian daripada Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Timbalan Pengerusi Akrab Bernama Sharifah Zaini Syed Zain berkata menerusi program tanggungjawab sosial (CSR) itu, diharapkan dapat membantu golongan asnaf berkenaan.
"Sumbangan tersebut merupakan satu usaha murni yang mana secara sedar atau tidak, ia akan menjalin rasa kasih sayang antara semua pihak dengan masyarakat.
"Insya-Allah program julung kali kita adakan hari ini akan diteruskan secara tahunan dengan melibatkan pelbagai agensi dibawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM)," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Lestari Komuniti @ Rungkup yang dirasmikan Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) KKMM Datuk Samsuni Mohd Nor di Kompleks Pelancongan Bagan Datuk hari ini. Turut hadir pengerusi Akrab KKMM Zazmie Mohd Zain.
Program yang disertai 30 ahli Akrab Bernama dan KKMM turut mendapat kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan (JaPen).
Samsuni pula berkata program berkenaan menunjukkan keprihatinan agensi di bawah KKMM terhadap golongan yang memerlukan tanpa mengira masa di samping merapatkan hubungan antara kerajaan dengan masyarakat setempat.
Katanya program turun padang anggota Akrab Bernama wajar dicontohi bagi melihat, merasai serta berkomunikasi dengan golongan sasar yang sememangnya wajar dibela dan diberi perhatian sepanjang masa.
"Ia jelas menunjukkan bukan sahaja kerajaan, tetapi juga badan-badan pertubuhan mempunyai semangat bantu-membantu yang cukup tinggi. Budaya seperti ini kita perlu teruskan sebagai satu daripada tanggungjawab bersama," katanya.
Bagi seorang penerima bantuan tersebut, Azhari Hamid, 53, dari Kampung Tanah Lalang, sumbangan berupa keperluan dapur itu sedikit sebanyak meringankan beban keluarganya.
"Tiada apa yang dapat saya ungkapkan selain berterima kasih kepada pemberi. Saya harap program sebegini akan diteruskan tanpa perlu menunggu bulan Ramadan bagi membantu golongan susah seperti saya," katanya yang bekerja sendiri.
Chan Beng Tai, 65 dari Bagan Sungai Tiang, dan A.Ghandi, 55, dari Ladang Bagan Datuk menyifatkan program sebegini sedikit sebanyak memberi sinar harapan kepada keluarga mereka selain dapat merapatkan hubungan di antara rakyat dengan kerajaan.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment