Tuesday, 8 August 2017

Singgah di perkampungan nomad...

Sebaik melepasi pemeriksaan imigresen dan kastam di pusat kawalan keselamatan Kyrgyzstan di Irkeshtam, para peserta Kembara Inspirasi Haji (KIH) solat berjemaah di sebuah masjid berhampiran pusat itu sebelum meneruskan perjalanan sejauh 200km ke bandar Osh.
“Kami bersyukur dapat tiba di Kyrgyzstan dengan selamat tanpa mengambil masa terlalu lama di pintu masuk,” kata Pengarah Projek KIH Khir Ariffin.
Perjalanan ke bandar itu amat mencabar melibatkan pendakian bukit dan jalan berliku serta menyusuri bukit dan gunung yang adakala kelihatan diliputi salji.
Para peserta kembara singgah kira-kira 30 minit di sebuah perkampungan nomad tidak jauh dari sempadan dan berkenalan dengan penduduk. 
Mereka mengedarkan  barang makanan seperti biskut, gula-gula dan buah-buahan kepada kanak-kanak.
Penduduk kampung tersebut kemudiannya menjamu peserta KIH roti dengan keju cair buatan sendiri dan teh dalam rumah diperbuat daripada kanvas putih.
Perkampungan itu terletak di kawasan lapang serta berumput hijau dan terdapat haiwan seperti kuda, keldai, lembu dan kambing di kawasan sekitar.
Peserta kembara kemudiannya menyambung perjalanan dan berhenti di sebuah stesen minyak kerana tangki kereta yang hampir kekeringan sebelum hujan lebat, memaksa   mereka berteduh seketika. 
Setelah menunaikan solat dan apabila hujan masih tidak menampakkan tanda reda, pemilik stesen minyak itu yang dikenali sebagai Toko, 59, mempelawa mereka makan roti  berserta keju dan teh panas di kediamannya.
Sebaik hujan semakin reda, mereka beredar dari situ dan meneruskan perjalanan  sejauh  180km  dalam keadaan gelap dan tiba di sebuah hotel di Bandar Osh pada tengah malam (2 pagi Selasa, waktu Malaysia).
Pemilik stesen minyak, Toko, (empat dari kanan) dan
isteri Shani (tiga dari kanan) menjamu peserta KIH
Lapan jam kemudian, peserta kembara menyambung perjalanan ke sempadan Kyrgyzstan-Uzbekistan sejauh kira-kira 100km.
Mereka perlu berada di sempadan pada tengah hari waktu tempatan seperti yang dijanjikan dengan seorang pemandu pelancong yang dijadualkan menemani mereka sepanjang berada di Uzbekistan selama dua hari.
Uzbekistan merupakan negara kelima dijelajahi peserta KIH selepas Thailand, Laos, China dan Kyrgyzstan.
KIH melibatkan perjalanan 16,000km dari Kuala Lumpur sejak 18 Julai lepas, merentasi sembilan negara lain sebelum tiba menerusi jalan darat di Dubai untuk menaiki kapal terbang ke Jeddah bagi menunaikan haji.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment