Wednesday, 16 August 2017

Syukur menghampiri destinasi...

Para peserta Kembara Inspirasi Haji, yang memasuki Iran semalam, meneruskan perjalanan dari Shahrud ke ibu negaranya Tehran hari ini.
Shahrud, yang terkenal dengan keunikan anggur yang dihasilkannya, terletak 410km ke timur Tehran.
Mereka tiba di bandar itu kira-kira pukul 2 pagi waktu tempatan dan terus menginap di sebuah hotel, kata Ketua Editor Tugasan Bernama News Channel Abdul Rahman Ahmad.
Sebelum ke Shahrud, para peserta melalui bandar Quchan setelah memasuki Iran menerusi Bajgiran dari Turkmenistan.
Bajgiran ialah sebuah perkampungan Iran yang merupakan satu daripada tiga pintu masuk antara Iran dengan Turkmenistan.
Ia terletak 75km dari Quchan dan kira-kira  40km dari Ashgabat, ibu negara Turkmenistan.
Dari Tehran, para peserta kembara dijangka bergerak ke Dubai dalam masa empat hari lagi, kata Rahman menerusi WhatsApp tengah hari ini.
Waktu di Malaysia lebih awal kira-kira 3 jam 30 minit berbanding Iran.
Dalam catatan Facebook Kembara Inspirasi Haji, mereka menyatakan syukur kerana dapat memasuki Iran semalam.
“Proses nak masuk application lebih sebulan sejak dari Malaysia dan visanya kami collect di konsulat Iran di Tashkent, Uzbekistan  Jumaat lepas.
“Depa buat background check dan Facebook kita. Tahu la apa kita buat dan apa kita share, update dan check in. Begitu mudahnya info kita diketahui ye zaman ni,” kata mereka.
Mereka juga mengisi disel untuk dua kenderaan pacuan empat roda.
Dari Dubai mereka akan menaiki kapal terbang ke Jeddah bagi meneruskan perjalanan ke Makkah untuk menunaikan haji.

No comments:

Post a Comment