Monday, 21 August 2017

Kembara Inspirasi Haji selamat tiba di Dubai...

Daripada Abdul Rahman Ahmad di Dubai

Kembara Inspirasi Haji berjaya menamatkan pengembaraan dengan berkenderaan mengikut jadual apabila mereka tiba di Dubai  hari ini setelah menempuh perjalanan sejauh 14,700km merentasi Thailand, Laos, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan dan Iran.
Bagaimanapun, kini mereka merancang untuk  memasuki Arab Saudi menerusi jalan darat jika diberi kebenaran oleh kerajaan negara itu sedangkan mengikut perancangan mereka menaiki kapal terbang untuk ke Jeddah bagi menunaikan haji.
Kelapan-lapan peserta kembara dijadual memasuki Dubai semalam tetapi disebabkan urusan pemeriksaan dan dokumentasi kenderaan yang mengambil masa lapan jam di pelabuhan Khalid, Bandar Sharjah, mereka terpaksa bermalam di bandar itu.
Mereka tiba di pelabuhan berkenaan pada 10.30 pagi Ahad dari pelabuhan Bandar Abbas, Iran setelah mengharungi Selat Hormuz selama 12 jam dengan menaiki feri ‘Iran Hormuz’ yang memulakan pelayaran kira-kira 10 malam Sabtu.
Kejayaan mereka untuk sampai di Dubai disambut dengan penuh kesyukuran kerana dapat menamatkan pengembaraan dengan selamat walaupun perjalanan yang dilalui ada kala tidak lancar dan mendebarkan lebih-lebih lagi pada saat ditahan polis kerana bersolat di masjid, dihalau dari masjid dan dihalang daripada menunaikan solat Jumaat.
Bagi Pengarah Projek Kembara, Khir Ariffin, beliau sangat bersyukur kerana mereka selamat sampai di Dubai kerana dimaklumkan sebelum ini bahawa kenderaan pemanduan sebelah kanan tidak dibenar memasuki Dubai mengikut undang-undang negara ini.
“Tetapi walaupun proses pemeriksaan dan dokumentasi kastam begitu lama namun kita dibenarkan untuk memasuki kenderaan dan ternyata larangan membawa kenderaan itu tidak benar. Jika tidak, kita terpaksa mengubah rancangan dan meninggalkan kedua-dua kenderaan pacuan empat roda itu di bandar Sharjah untuk dihantar pulang,” katanya.
Mereka akan berkunjung ke konsulat Malaysia di Dubai.
Menurutnya, sepanjang perjalanan, mereka menghadapi pelbagai dugaan terutamanya ketika proses imigresen dan kastam yang mengambil masa begitu panjang di pintu masuk sesebuah negara dan kerosakan kenderaan yang memaksa ia ditunda sejauh 20km.
Negara paling lama mereka lawati  ialah China selama 17 hari merentasi empat wilayah iaitu Yunan, Sichuan, Gansu dan Xinjiang diikuti Iran, Uzbekistan, Emiriah Arab Bersatu, Thailand, Turkmenistan, Krygyzstan dan Laos.
Perjalanan mereka bermula dari masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 18 Julai dan sepanjang perjalanan mereka, melawati masjid dan menjalankan aktiviti amal dengan menghulur bantuan keperluan kepada pelarian asing di Bangkok, Thailand, dan menghulur buah tangan kepada penduduk setempat di negara-negara berkenaan agar dapat mengenali mereka secara dekat.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment