Tuesday, 22 August 2017

Hasrat mungkin terjejas kerana tiada visa....

Daripada Abdul Rahman Ahmad di Dubai

Selepas mengharungi perjalanan darat hampir 15,000 kilometer dari Malaysia, hasrat utama lapan peserta Kembara Inspirasi Haji untuk ke Tanah Suci mungkin tidak kesampaian disebabkan kegagalan mereka mendapatkan visa haji.
Mereka diberitahu mengenai penolakan permohonan visa haji itu semasa berada di Iran minggu lepas, oleh wakil penganjur Pertubuhan Kembara AMAL (PEKA) di Kuala Lumpur. 
Berita itu tidak mematahkan semangat pengarah projek Kembara, Khir Ariffin  yang tetap berusaha untuk mendapatkan visa haji termasuk berjumpa Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Datuk Yubazlan Yusof semalam.
Bagaimanapun, Yubazlan memaklumkan amat sukar bagi mereka membuat permohonan visa haji di Dubai kerana ia harus dilakukan di Kuala Lumpur dengan kelulusan TH mengikut kuota haji yang diluluskan oleh kerajaan Arab Saudi.
Menurut Khir, mereka telah memulakan pengembaraan pada 18 Julai sebelum mendapat kelulusan visa haji kerana ketika itu permohonan visa haji belum dibuka oleh kerajaan Arab Saudi.
Peserta kembara juga perlu mengejar masa kerana mereka harus berada di Dubai pada 21 Ogos selepas lebih satu bulan merentasi beberapa negara bagi membolehkan mereka ke Tanah Suci sebelum hari wukuf.
Bagi memastikan mereka memperoleh visa haji tersebut, seorang peserta Kembara terpaksa pulang ke Kuala Lumpur untuk mengendalikan urusan berkenaan namun dimaklumkan penolakan permohonan itu disebabkan kuota haji sudah penuh dan permohonan visa haji sudahpun ditutup.
Berdasarkan perancangan, peserta Kembara akan meninggalkan kedua-dua kenderaan pacuan empat roda di Dubai untuk dihantar pulang ke tanah air menerusi perkhidmatan kargo manakala mereka meneruskan perjalanan ke Jeddah dengan kapal terbang dan seterusnya berkereta ke Makkah.
“Kami berharap dan menyeru kepada mana-mana pihak yang dapat membantu kerana kami sudah melakukan perjalanan ribuan kilometer untuk sampai ke tahap ini, malah di mana-mana tempat kami pergi dan berhenti rehat ramai yang mendoakan agar kami sampai ke Tanah Suci,” katanya.
Beliau berkata banyak halangan luar jangka dihadapi peserta termasuk dimaklumkan kenderaan pemanduan sebelah kanan dilarang masuk ke Dubai.
“… tetapi Alhamdulillah kami dibenarkan untuk menggunakan kenderaan ini di Dubai. Jadi kami masih yakin dan berdoa agar dapat teruskan perjalanan sehingga ke tanah suci,” tambahnnya.
Peserta Kembara telah melalui Thailand, Laos, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran serta Emiriah Arab Bersatu dan kini berharap dapat meneruskan perjalanan ke Tanah Suci iaitu tujuan utama pengembaraan yang penuh dengan cabaran dan dugaan itu.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment