Thursday, 24 August 2017

Terus berusaha dapatkan visa haji...

Daripada Abdul Rahman Ahmad di Dubai

Lantaran tidak mahu menghampakan peserta Kembara Inspirasi Haji, seorang daripada anggota kembara pulang ke Kuala Lumpur semalam dalam cubaan terakhir untuk mendapatkan visa haji bagi memastikan mereka dapat  mencapai aspirasi dan menamatkan pengembaraan dengan mengerjakan haji di Tanah Suci.
Pengarah Projek, Khir Ariffin berlepas pulang dengan membawa segunung harapan agar visa haji dapat dikeluarkan untuk peserta kembara yang terkandas di Dubai sejak empat hari lepas setelah dimaklumkan bahawa permohonan visa haji mereka ditolak.
"Waktu masih ada bagi kita peserta kembara untuk mendapatkan visa haji dengan ketentuan Allah SWT... kita hanya perlu berusaha kerana ini satu ujian.
"Kembara ini bukan pengembaraan yang kita buat secara spontan tetapi kita sememangnya telah merancang sejak sekian lama dan telah memaklumkan kepada pihak bertanggungjawab termasuk Tabung Haji mengenai pengembaraan ini sebelum memulakan perjalanan," kata Khir di lapangan terbang antarabangsa Dubai.
Sejak dimaklumkan permohonan visa haji ditolak, Khir dan peserta lain sedih, namun tidak putus-putus mendapatkan nasihat dan bantuan daripada pelbagai pihak berkaitan cara untuk mendapatkan visa haji, termasuk daripada konsul jeneral Malaysia di Dubai.
Wakil Pertubuhan Kembara Amal (PEKA) yang menganjurkan kembara itu juga masih berurusan dengan kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur dan Tabung Haji untuk mendapatkan bantuan permohonan visa haji.
Semasa di Kuala Lumpur, Khir akan menemui pegawai tinggi Tabung Haji termasuk Pengerusinya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan pegawai Kedutaan Arab Saudi untuk memohon mendapatkan visa haji buat kali terakhir.
Peserta kembara telah melakukan perjalanan 14,700km merentasi Thailand, Laos, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran dan Emiriah Arab Bersatu menaiki dua kenderaan pacuan empat roda dari Kuala Lumpur sejak 18 Julai lepas.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment