Duta Malaysia ke Turkmenistan Roseli Abdul nyata teruja dapat bertemu para peserta Kembara Inspirasi Haji yang membuat kunjungan terhadapnya di Kedutaan Malaysia di Ashgabat hari ini.
Foto: KIH |
“Bila terbaca mengenai mereka menerusi Facbook Kembara Inspirasi Haji, saya rasa saya perlu membantu terutamanya untuk memasuki negara ini,” katanya pada pertemuan dengan para peserta itu yang diketuai Pengarah Projek Kembara, Khir Ariffin.
Para peserta sepatutnya membuat kunjungan itu semalam tetapi ditunda kerana pemeriksaan hampir lima jam oleh pihak Imigresen dan Kastam di pintu masuk Turkmenistan di Farap. Para peserta kembara memasuki negara ini dari Uzbekistan.
“Kita alu-alukan kedatangan warga Malaysia ke negara ini seperti peserta kembara ini. Kita jarang sekali menerima kedatangan warga Malaysia termasuk untuk tujuan pelancongan. Jika ada yang mengunjungi, kami rasa sungguh gembira,” katanya.
Foto KIH |
Dalam pertemuan itu, para peserta kembara juga gembira kerana dijamu dengan hidangan nasi lemak dan keropok udang oleh isteri Roseli, Khadijah Kok Abdullah.
Turut hadir Setiausaha Pertama kedutaan Nur Diyana Badarudin dan tiga pegawai Kumpulan Scomi, Shyawal Mahmad, Idaham Mahadi dan Akmal Nordin.
Dalam pertemuan itu, Khir menceritakan mengenai pengalaman sepanjang pengembaraan termasuk ditahan polis kerana bersolat di masjid semasa di China dan kesukaran bersolat di kawasan terbuka di Uzbekistan.
Pada akhir pertemuan, Khir menyerahkan cenderahati berupa buku kepada Roseli yang turut melepaskan peserta kembara untuk menyambung baki perjalanan sejauh 4,000 km.
Peserta Kembara Insprasi Haji akan meneruskan perjalanan ke Iran sejauh 600km sebelum ke Dubai dalam masa tiga hari lagi untuk menaiki penerbangan ke Tanah Suci.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment