Monday, 31 July 2017

Berat mata memandang...

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Penyelia pengawal keselamatan Bernama, Basir Hassan, yang diserang strok empat bulan lepas, menggagahi diri untuk datang ke Wisma Bernama pagi ini bagi mengucapkan salam perpisahan.
Beliau datang untuk mengambil barang-barang yang masih tersimpan di pejabat serta mengembalikan pas keselamatan dan buku rawatan Bernama.
Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh kagum dengan ketabahan Basir dan mendoakan beliau pulih daripada penyakit.
Katanya, Basir telah berkhidmat dengan penuh dedikasi menggunakan pengalaman ketenteraannya untuk menjaga keselamatan di Bernama.
Basir berkhidmat selama 24 tahun sebagai anggota tentera sebelum memohon menyertai Bernama pada Julai 2013.
Dalam pertemuan dengan Datuk Zulkefli pagi ini, Basir mengucapkan terima kasih dengan menyatakan kontraknya akan tamat pertengahan Ogos ini.
"Minta maaf kalau ada salah," kata Basir yang akan pulang ke kampung di Kedah. 
Beliau menceritakan keadaan dirinya setelah diserang strok serta usaha yang dilakukan ke arah pemulihan.
Penglihatan dan pendengarannya masih terjejas, kata Basir yang ditemani isteri dan anak-anak ke Wisma Bernama.  
Beliau turut bertemu Pengurus Kanan Kewangan dan Akaun, Puan Sharifah Zaini Syed Zain yang kini menjalankan tugas Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Pentadbiran serta Puan Mariati Arif, pengurus sumber manusia.


No comments:

Post a Comment