Wednesday, 12 July 2017

Gotong royong sambut konvoi...


Konvoi Jelajah 1Jiwa Bernama yang singgah ke pejabat Biro Terengganu hari ini meraikan empat veteran yang banyak menabur jasa kepada agensi berita itu yang menyambut Jubli Emas ulangtahun ke-50, Mei lepas.
Mereka yang diraikan ialah bekas pemberita sambilan Bernama Ibrahim Abu Bakar, 75, dan bekas pemberita sambilan Bernama News Channel, Wan Afandi Wan Mahadi, 50, serta dua pemberita sambilan Nodin Mahadi, 64, dan Tuan Azam Tuan Johan, 63.
Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Pok Him berkata beliau terharu dengan keprihatinan peserta konvoi yang masih mengingati beliau walaupun tidak lagi berkhidmat di Bernama Biro Terengganu.
"Dah lama saya tak datang pejabat. Memang seronok dapat berjumpa ramai kawan lama dan mengimbau semula kenangan ketika bertugas dahulu.
"Walaupun pertemuan ini hanya sebentar, sekurang-kurangnya saya tahu Bernama sangat prihatin dengan kebajikan semua petugasnya termasuk pemberita sambilan," katanya yang berhenti menabur khidmat disebabkan faktor usia pada tahun lepas.
Bagi Tuan Azam pula, Bernama telah dianggap sebagai keluarga besarnya kerana telah berkhidmat selama 45 tahun dengan agensi berita itu.
"Saya berpengalaman bekerja dengan 11 ketua biro sepanjang tempoh itu. Saya juga antara yang bertuah kerana sempat menyaksikan pelbagai perubahan di Bernama termasuk perubahan teknologi dalam penyiaran berita digital ketika ini.
"Istimewanya Bernama kerana sentiasa melaporkan berita yang tepat dan pantas serta sudut pandang pemberitaan yang menarik dan unik," katanya.
Bagi Nodin pula, beliau memilih untuk menjadi pemberita sambilan Bernama pada tahun 1982 kerana teruja dengan peranan Bernama sebagai agensi berita nasional negara terkemuka ketika itu.
"Sebelum itu, saya menjadi pemberita sambilan di Berita Harian dan Utusan Malaysia. Namun akhirnya saya memilih untuk berkhidmat dengan Bernama dan kekal hingga sekarang kerana keistimewaannya itu.
"Harapan saya agar Bernama kekal unggul sebagai agensi berita yang menjadi rujukan di seluruh dunia untuk mengetahui perkembangan semasa di Malaysia," katanya.
Ketua Biro Zalina Maizan Ngah berkata para petugas begitu teruja membuat persiapan menyambut kedatangan konvoi serta meraikan petugas veteran. 
“Kami bergotong royong sejak semalam membersihkan pejabat, membahagi tugasan daripada menyambut tetamu hinggalah penyediaan makanan…semua menyumbang tenaga
“Kami sediakan nasi dagang, keropok lekor, akok dan pelbagai jenis kuih muih
“Kami begitu teruja untuk menyambut rakan-rakan dari Hq dan meraikan veteran Terengganu…
Pok Him (Ibrahim Abu Bakar), Cikgu Nodin (Mahadi) dan Tuan Azam (Tuan Johan) kami bawa bersama,” katanya.
Kek bertuliskan “We Love Bernama” juga ditempah bagi meraikan para peserta konvoi ke pejabat biro Bernama di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.
“Bila konvoi ni datang..ia adalah satu penghargaan kepada biro di negeri dan kunjungan bermakna untuk veteran yang mungkin terasa bagai dilupakan, walhal mereka selalu dalam ingatan Bernama,” katanya semasa menunggu ketibaan konvoi pagi ini.





No comments:

Post a Comment