Sunday, 30 July 2017

Semangat untuk Basir...

Basir (kiri) bersama Mohamed
“Jangan hisap rokok, jaga solat dan jangan lupa eksesais”
Itulah pesanan penyelia pengawal keselamatan Bernama Basir Hassan kepada ‘anak-anak buahnya' yang melawat beliau di rumahnya hari ini.
Beliau sedang cuti sakit setelah diserang strok empat bulan lepas.
Kehadiran tiga ‘anak buah’nya – Azahar Fathal, Mohamed Zainal dan Mohd Irwan Mustaffa menggembirakan Basir yang gigih menjalani rawatan pemulihan.
“Saya boleh katakan dua minggu sekali pergi tengok dia.…juga kalau ada kawan-kawan lain yang sakit,” kata Azahar.
“Keadaan dia hampir 30 peratus pulih dari gaya bercakap dan pergerakan,” kata Azahar yang berkunjung ke kediaman Basir di Keramat Hujung, Kuala Lumpur.
“Dari awal dia masuk Hospital Tuanku Mizan hingga kini, saya lihat ada banyak perubahan seperti tangan dah boleh angkat dan boleh berjalan perlahan-lahan.
“Boleh mandi sendiri, pakai baju sendiri serta suap makan sendiri,” katanya.
Ketika ditanya sama ada Basir boleh bercakap dengan jelas, katanya: “Kurang baik, ada sengau sikit..telinga tak dengar sebelah kanan”.
Basir tinggal bersama isteri Puan Shahini Mat Hassan yang telah bersara daripada tentera serta dua anak mereka.
Seorang anak mereka berada di asrama dan seorang lagi menjadi anggota tentera yang bertugas di Sarawak.
Basir pernah memberitahu ketika mula menyertai Bernama pada 1 Julai 2013 bahawa beliau tidak menyangka akan berkhidmat dengan Bernama setelah bersara dari tentera.
Beliau kerap melihat papan tanda  Bernama di simpang Jalan Tun Razak ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Kementerian Pertahanan (Mindef). 
Beliau memohon kerja sebagai penyelia pengawal keselamatan Bernama setelah mengetahui mengenai kekosongan jawatan itu melalui Internet.
"Selesa bekerja di sini dengan pergaulan staf yang tidak sombong," katanya ketika itu.
"Saya akan gunakan pengalaman dalam tentera untuk menjaga keselamatan di sini,” kata Basir, 46, yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang.
Azahar melawat Basir di Pusat
Rehabilitasi di Cheras
Beliau berkhidmat selama 24 tahun sebagai anggota tentera dengan pangkalan terakhir sebelum  bersara di 93 Regimen Semboyan DiRaja, Kem Imphal di Jalan Padang Tembak.
Azahar berkata beliau dapat merasakan kehadiran mereka memberikan semangat kepada Basir.
“…kalau tak hari-hari terfikir lain jer katanya,” menurut Azahar memetik kata-kata Basir.
“Saya tak boleh dengar orang sakit, apa lagi saya pernah sakit terlantar di rumah selama dua minggu,” katanya yang patah tulang rusuk selepas kemalangan motosikal dua tahun lepas.
“Bila kita duduk seorang, kita terfikir macam-macam dan rasa sunyi… jadi saya call kawan-kawan datang untuk bergurau senda.
“Oleh yang demikianlah, saya suka pergi melawat orang sakit sebab saya tahu perasaan orang sakit macam mana,” kata Azahar.
Dua minggu lepas beliau melawat Basir di  Hospital Rehabilitasi di Cheras untuk memberinya semangat ketika menjalani rawatan pemulihan.
Semalam beliau serta dua lagi rakan Bernama, Mahmood Nik dan Amral Ibrahim melawat pesara Bernama, Encik Ismail Suboh yang sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Mohamed pula berkata beliau berasa bersyukur dapat melawat Basir.
“Beliau seorang insan yang cukup tabah menerima keadaan,” katanya. 

No comments:

Post a Comment