Sunday, 23 July 2017

Kerjasama berpasukan bawa kejayaan ‘Bravo Juliet’

Kejayaan menjuarai acara mencari harta karun 'All-Ladies Treasure Hunt Kuala Lumpur-Pekan 2017' (ALTH) menyuntik semangat bagi pasukan ‘Bravo Juliet’ untuk menyertai kembara akan datang.  
“Soalan boleh tahan mencabar dan kolaborasi serta faktor team work membolehkan kumpulan kami memenangi ALTH,” kata penerbit kanan Bernama Radio Enn Baleana.
“Kami teruja dan bersemangat menyertai treasure hunt ini yang unik kerana semua pesertanya perempuan,” katanya. 
Anggota lain kumpulan itu ialah Juliana Shahida (pemandu), Wan Syahrina (navigator), dan Nadia Khairani.
“Saya dah biasa masuk treasure hunt tapi ini kali pertama bagi saya dan Juliana menyertai All Ladies Treasure Hunt namun kali kedua bagi Wan Syahrina dan Nadia ...mereka berdua memenangi ALTH 2015,” kata Enn.
“Bravo itu radio call sign untuk B - Bernama...Juliet bagi menggambar ladies,” katanya mengenai kumpulan itu yang dibentuk khusus untuk menyertai acara tersebut anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita).
Ia merupakan acara kali keempat bertemakan 'Kawan Nak ke Pekan' bertujuan mempromosikan Tahun Melawat Pahang serta diadakan sempena sambutan Jubli Emas Bernama tahun ini.  
“Selepas diumumkan sebagai pemenang, kami berasa sangat gembira terutama dengan hadiah lumayan yang ditawarkan Benita dan ini pastinya akan menyuntik semangat untuk menyertai ALTH akan datang,” kata Enn.
Mereka menjuarai kategori tertutup (ahli Benita) dengan memenangi hadiah wang tunai RM3,000 dan barang elektrik.
Majlis penyampaian hadiah diadakan di Hotel Ancasa Royale, Pekan, malam tadi dihadiri Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab. 
Enn berkata antara kenangan menarik ialah apabila mereka perlu ke pusat konservasi gajah kebangsaan Kuala Gandah. 
“Kami perlu bergambar dengan gajah di pusat itu. Ini adalah pertama kali bagi kami semua ke pusat tersebut yang sangat menarik dan well kept,” katanya.
 





No comments:

Post a Comment