Thursday, 27 July 2017

Gembira jumpa masjid ...

 Daripada Abdul Rahman Ahmad

Terserempak dengan sebuah masjid kuning hijau yang baharu ketika melalui satu kawasan di China membawa kegembiraan bagi lapan peserta Kembara Inspirasi Haji (KIH) 2017.
Kubah masjid itu muncul di pandangan ketika mereka melalui jalan kampung Ma Jia Zhuang dalam wilayah Yunnan petang semalam semasa dalam perjalanan ke Liangshan dari Dali sejauh kira-kira 570km.
Pengarah Projek KIH Khir Ariffin berkata tujuan kembara itu sememangnya mencari dan melawat masjid dan surau di semua negara yang dilalui selain matlamat menunaikan haji.
“Saya sungguh seronok dan teruja, kita tak rancangpun untuk singgah ke sini. Masjid ini sangat cantik, tak sangka dapat jumpa masjid seperti ini,”  katanya semasa singgah di masjid dua tingkat itu yang masih belum digunakan tetapi bahagian dalam sudah dihiasi.
Ketika sampai di perkarangan masjid itu pada 4.50 petang, tidak terdapat kelibat mana-mana pegawai atau kakitangan masjid.
Namun tinjauan mendapati dewan solat terletak di bahagian atas sementara bahagian bawah dipercayai dijadikan kelas pengajian berdasarkan aturan meja dan kerusi yang dilihat.
Perjalanan peserta kembara di jalan kampung itu membabitkan jarak lebih 100km dan selebihnya melalui lebuh raya.
Tempoh keseluruhan perjalanan dari Dali ke Liangshan mengambil masa hampir 13 jam dari tengah hari  semalam dan tiba1 pagi Khamis.
KIH membabitkan pengembaraan dua bulan dengan perjalanan darat sejauh 16,000km merentasi 10 negara sebelum peserta menunaikan ibadah haji di tanah suci.
Pengembaraan itu bermula di Kuala Lumpur pada 18 Julai lepas dan telah melalui tiga negara iaitu Thailand, Laos dan kini, China.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment